Wednesday, December 23, 2009

ARMADA HIJRAH

(Kalimah hijrah, seperti juga lain-lain kalimah yang penting dalam Islam, kerap disalah tafsirkan. Mendengar pelbagai bentuk dan nada perbualan antara juruhebah radio dengan pendengarnya semasa memandu pagi tadi (topiknya: Hijrah) menggerak rasa hati untuk menulis sesuatu tentang hijrah yang suci ini.
Sedih, apabila hijrah dikaitkan dengan perkara-perkara “kecil” yang begitu pinggiran sifatnya. Namun, saya berlapang dada… hakikatnya itulah nasib Islam, agama yang paling banyak disalah tafsirkan bukan hanya oleh bukan Islam tetapi oleh orang Islam sendiri.  Dan saya juga pernah tersasar memahaminya.
Justeru, saya rasa terpanggil untuk berkongsi mengenai hijrah. Jika salah, mohon diperbetulkan. Jika benar, alhamdulillah mohon difahami, dihayati dan sama-sama diperjuangkan.)


ARMADA HIJRAH
Hijrah adalah kalimah yang sinonim dengan iman dan jihad. Allah berfirman;
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar.” (At-Taubah:20-22)
Ketiga-tiganya tidak boleh dipisahkan sama sekali. Tegasnya, hijrah itu dilaksanakan atas dorongan iman dan berjihad di jalan Allah. Dan ketiga-tiganya menuntut pengorbanan yang besar dari segi harta (masa dan tenaga) serta jiwa. Tidak ada hijrah tanpa pengorbanan. Dan pengorbanan itu bukan untuk kepentingan diri dan orang lain, tetapi semata-mata untuk mendapat rahmat dan keredaan Allah.
Ironinya, kita sering mendengar ungkapan seperti:
“Kita mesti hijrah menuju kejayaan.”
“Bangunkan ekonomi kita dengan semangat hijrah.”
Ya, benar kita perlukan kecemerlangan dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain, namun usaha itu sama sekali tidak boleh disifatkan sebagai hijrah sekiranya faktor iman dan Islam tidak dijadikan dorongan, penentu, pemantau dan panduan dalam mencapainya. Tanpa iman dan Islam menjadi niat dan jalannya maka apakah bezanya pencapaian kita dengan individu, masyarakat dan negara-negara bukan Islam? Mereka menjadi kaya, maju dan kuat tanpa menjadikan akidah, syariat dan akhlak sebagai landasan.
Hijrah tidak boleh dikaitkan berpindah daripada suasana miskin kepada kaya semata-mata. Ini kerana seorang sahabat Rasulullah SAW – Suhaib Ar Rumi RA bertukar daripada kaya kepada miskin akibat berhijrah. Ibnu Hisyam meriwayatkan bahwa ketika Suhaib (RA) berusaha hijrah, kafir Quraisy berkata kepadanya, “Ketika dulu kamu datang kemari, kamu sangat miskin dan tak dipandang sebelah mata. Kini kamu kaya raya. Kami tidak akan relakan kamu pergi membawa kekayaanmu.” Suhaib (RA) menjawab, “Jika kuberikan semua kekayaanku kepada kalian, akankah kalian relakan aku pergi?”. Kafir Quraisy menyetujuinya.

dari blog Genta Rasa

No comments:

Post a Comment