Saturday, January 23, 2010

SALAM KEPADA BUKAN ISLAM

DI TENGAH kalut kalangan umat Islam yang menonjolkan perjuangan Islam di sebalik isu ‘nama Allah’, yang pada saya ramai yang masih mengenepi kedaulatan Allah dari hati nurani, Tok Guru Nik Aziz memunculkan isu ‘boleh beri salam kepada bukan Islam.’

Secara moralnya, bagi saya Muslim wajib memberi salam (jaminan kesejahteraan) kepada bukan Islam, iaitu secara sikap moral dan tertanam dalam batin atau hati nurani. Malah itu berupa sikap akidah, yang tidak boleh dicuaikan jika kita benar-benar seorang Muslim – yang menyerah diri kita kepada konsep hidup Islam demi Allah.

Salam secara maknawi adalah menjamin kesejahteraan, keselamatan dan pembelaan terhadap sesama Islam mahu pun sesama manusia yang tidak bermusuhan, malah sedia bermuafakat dan membantu kita dalam menyempurnakan masyarakat berkerukunan dan saling membantu.

Jadi falsafah ucapan salam ialah menyedarkan kontrak sosial, terutamanya sesama umat Islam. Misalnya moral memberi salam menurut Nabi saw, Muslim yang berkenderaan patut dan utama memberi salam terlebih dahulu kepada yang berjalan kaki. Maknanya yang elit lebih layak menjamin keselamatan sesama yang lebih daif dan berkurangan. Bukan sebaliknya.

Dalam fekah, umat Islam dikehendaki menjamin keselamatan orang bukan Islam yang sewarga negara dengan kita. Agama, maruah, harta mereka wajib dipastikan selamat dari pencerobohan orang Islam. Malah dibenarkan menentang seperti menentang kafir harbi kepada Muslim yang melakukan kejahatan dan kezaliman kepada mereka yang telah menerima hidup berkerukunan dengan kita.

Kenapakah sedemikian ? Kerana agama Islam yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw melalui wahyu Al-Quran, bukanlah agama eksklusif seperti slogan “Islam milik orang Melayu”. Slogan begini menjadikan seseorang Muslim itu memaling agama suci anutan mereka menjadi agama eksklusif seperti Judaisme – agama Yahudi.

Ketika kita bersolat, kita membaca surah Al-Fatihah. Di hujung surah itu ayatnya ialah “ Ghairi al-maghdhuubi ’alaihim wala adh-dhaalliiin”. Ayat ini ditafsir oleh Nabi Muhammad saw sendiri. “ Al-Maghdhu” sebagai “ Al-Yahud” – Yahudi. “Wala adh-dhaallinn” sebagai “ An-Nashara”. Jadi melalui Al-Fatihah setiap solat kita, telah ditentukan Allah supaya kita tidak meng-eksklusif-kan agama kita bagai Yahudi, dan tidak pula tersesat ke dalam emosi apabila beragama Islam. Kita wajib tunduk kepada pengertian dan fahaman berdasarkan ilmu.

Dan apabila disebut ilmu, ada dua ilmu penentu kesucian, kemuliaan dan kesahihan agama kita, iaitu Al-Quran dan Sunnah yang berdasarkan sumber yang sahih segi sanad dan matannya. Hujah ini sahajalah merupakan kesucian agama.

Apabila disebut ulama khilaf dalam satu-satu hal, ia menunjukkan ketiadaan dalil kuat yang mendokong satu-satu pandangan itu secara muktamad. Maka di sini kita harus menggunakan akal yang mendalam, murni dan waras dengan keadaan semasa untuk membuat pilihan demi kebaikan agama kita. Malah dengan tujuan demi Allah, bukan demi nafsu dan prasangka emosional kita.

Bebalik kepada pandangan Tok Guru Nik Aziz tentang salam kepada bukan Islam, beliau dipetik oleh tabloid Siasah sebagai berkata: “Ada orang pernah tanya bolehkah orang Islam beri salam bila jumpa orang Cina atau India (bukan Islam). Setengah ulama kata boleh, setengah ulama pula kata tak boleh.”

“Jadi bagi ambo (saya), boleh. Sebab ia perkara khilaf. Bila ia cuma satu khilaf kenapa kita masih nak ambil yang tak boleh. Mana baik kita beri salam dengan tak beri salam.”

“Tambah-tambah dunia sekarang dunia orang tengah balah (bertelagah), kita beri salam maknanya selamat untuk kamu. Di mana tak baiknya beri salam.”

Dari kenyataan yang dipetik sebagai kenyataan Tok Guru di atas, satu kesimpulan kaedah fiqh dakwah Islamiyah telah diberi oleh Tok Guru.

(1) Dalam permasalahan khilaf, pemilihan yang tepat harus dilakukan,
(2) Pemiliohan itu harus berdasarkan maslahat dan hikmah demi Allah dan agama-Nya.
(3) Mendalami kehendak semasa dan mencitrakan Islam sebagai kemuliaan dari Allah melalui mengamalan ke dalam budaya umat.

Dalam hal salam ini, jika kita merujukkan kepada Bustanul Arifin yang dikarang oleh Syekh Nashr bin Muhammad As-Samarqandi, kita dapati beliau menyebut tentang adanya khilaf.

Berkata Syekh Syeikh Nashr : “Para ulama berselisih (khilaf) mengenai memberi salam kepada ahli zimmah. Sebahagian mereka memperbolehkannya. Dan sebahagian lain melarangnya. Akan tetapi bila mereka memberi salam, kita boleh membalasnya dengan jawapan. Pendapat inilah yang kami anut.”

Menurut Syeklh Nashr, pihak yang membolehkan memberi salam kepada Ahli Zimmah berdasarkan pendapat Abdullah bin Mas’ud r.a. Sementara yang tidak membolehkannya pula, mengambil hujah dari Abdullah bin ‘Umar.

Untuk memberikan makna yang mendalam tentang hikmah agama Allah tentang memberi salam kepada bukan Islam ini yang dinyatakan oleh Tok Guru Nik Aziz itu, elok rasanya kita membuka Al-Quran dalam keadaan yang tenang, dan menghadap hati kepada Allah, lalu merenung ayat 84 hingga ayat 87 Surah An-Nisaa’.

Mudah-mudahan dicurahi hikmah ke dalam hati nurani kita. WaLahu a’lam bish-showaab !
Sumber :harakahdaily.net

Friday, January 22, 2010

Kenyataan Media Isu Kalimah Allah

Muzakarah Pakar : “Terjemahan God Sebagai Allah:
Mengenalpasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya”



Kami telah dijemput sebagai mewakili parti masing-masing dan individu dalam Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada 21 Januari 2010. Laporan beberapa akhbar harian pada 22 Januari 2010 telah menyatakan sebagai berikut :



“Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengambil kata sepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada ‘God’ tidak tepat.

Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam juga menyalahi hakikat sebenar kerana ia bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di Malaysia”.

Apa yang tidak dinyatakan di dalam laporan berkenaan ialah pendirian konsisten kami bahawa :




1. Penggunaan kalimah nama ”Allah” untuk tujuan amalan agama sesama penganut agama Kristian dan Yahudi adalah dibenarkan oleh Islam, dengan bersumberkan dalil Al Quran dan As Sunnah serta pandangan ulama muktabar.

2. Demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara, polemik ini hendaklah diselesaikan dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana.

3. Berasaskan semangat musyawarah dan saling memahami dalam konteks masyarakat Malaysia, maka suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira dalam menentukan penggunaan kalimah “Allah” itu. Penggunaan kalimah “Allah” secara tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. Oleh itu, satu garispanduan penggunaannya perlulah diwujudkan.

Kami juga ingin menyatakan bahawa sebagaimana yang telah dipersetujui oleh pihak penganjur dan para panel muzakarah, dan berdasarkan kepada tradisi keilmuan dan semangat perbezaan pandangan, maka tiada sebarang ketetapan rasmi telah dikeluarkan diakhir sesi muzakarah berkenaan.

Kenyataan Media oleh Tiga Panel Muzakarah Pakar :

Dato’ Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Dr Mohd Nur Manuty
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Dr Mohd Asri Zainal Abidin
Mantan Mufti Perlis

22 Januari 2010

Komen : Nyatakanlah yang BENAR walaupun PAHIT...

Monday, January 18, 2010

Mari Memahami Hadis Rasulullah SAW dengan Ilmu

Pada hari ini, tidak ramai orang dapat memahami hadis rasulullah dengan kefahaman yang sahih yang dikehendaki oleh Islam. Apabila saya ditanya kefahaman yang bagaimanakah yang sahih, maka saya tidak mampu lagi berkata bahawa kefahaman yang didasari oleh hadis rasulullah itu adalah kefahaman yang sahih lantaran kerana dari sebuah hadis sahaja manusia boleh berselisih lalu berbeza kefahaman dan pegangan.

Saya hanya mampu mengatakan kefahaman yang terhasil daripada hadis dengan menggunakan KAEDAH yang diguna pakai dan DIAMALKAN oleh para sahabat, tabien dan para ulama ahlul sunnah wal jamaah itulah yang sahih dan TERJAMIN.

Saya sangat berbesar hati sekiranya adik-adik muda yang ingin berjinak-jinak dengan ilmu agama dapat melakukan muhasabah dengan tidak GOPOH menggunakan nama RASULULLAH di dalam MEMPROMOSIKAN apa yang diyakini oleh mereka sebagai KEBENARAN kerana boleh jadi mereka tersilap lalu menyebabkan mereka terjebak di dalam dosa PENDUSTAAN ke atas nama rasulullah akibat kejahilan.

Tidak perlulah menggunakan tajuk RASULULLAH MENJAWAB KHAWARIJ atau RASULULLAH MENJAWAB sekian dan sekian pada perkara yang tidak Qat’ie sebaliknya sudah memadai sekiranya pihak tertentu menggunakan tajuk yang umum kerana dikhuatiri kita menjadi seperti Qais yang mengakui memiliki Laila tetapi Laila sebaliknya berlepas diri.

Marilah kita mencontohi para sahabat apabila Utbah bin Muslim pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah berkawan dengan Ibn Umar ra selama tiga puluh empat bulan dan seringkali ketika beliau ditanya dengan sesuatu persoalan maka djawab oleh beliau dengan berkata : "Aku tidak tahu".

Demikian juga Ibnu Abi Laila ra yang menyebutkan aku pernah melihat seratus dua puluh lebih para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam dari kalangan Ansor yang apabila ditanyakan dengan sesuatu permasalahan agama maka dia menyerahkan kepada yang lain sehingga sahabat yang lain itu menyerahkan kembali kepada yang lain sehingga seringkali persoalan itu kembali kepada sahabat yang pertama ditanyakan tadi.

Mengetahui Hadis sahaja tidak mencukupi ini jelas daripada sabda rasulullah yang bermaksud : "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengarnya daripadaku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba hamba-Mu." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir (2/240), Sunan Abu Daud 1825 dan disampaikan oleh Rasulullah Sallahualaihi wasallam dalam sabda baginda di dalam khutbah Haji terakhir, di Lembah Uraynah, Bukit Arafah)

Kenapa baginda rasul mengatakan bahawa yang terakhir mendengar hadis ini boleh jadi memahaminya lebih baik daripada yang mendengar secara langsung daripada baginda ?

Apakah orang yang menguasai hadis rasulullah yang jelas itu boleh sahaja tidak memahami maksud dan kehendaknya ?

Ya, boleh sahaja dan hal ini dibuktikan oleh baginda sendiri.

Ini kerana mengetahui hadis sahaja tidak mencukupi tetapi memerlukan kemahiran lain yang mendorong kepada kefahaman yang benar yang dikehendaki oleh syarak.

Menurut riwayat Abdullah Ibnu Masud ra pernah menyebut : "Manusia akan selalu dalam keadaan baik selama mahu mengambil ilmu dari para pembesar(ulama) mereka dan jika mereka mengambil dari Ashoghir yang buruk maka mereka pasti hancur." (Ibn Abd Bar Jami’ Bayan al Ilmi, ms. 248).

As-shoghir ialah pemuda yang mentah dan jahil dan sebahagian ulama mengatakan mereka ialah ahlul bid’ah dan maksudnya ialah sama dengan golongan Ruwaibidhoh.

Dimaksudkan dengan pengetahuan mendalam ialah mereka (ulama’) haruslah memiliki kekuatan ilmu secara ilmiah terhadap kitab Alllah iaitu Al-Qur’an dengan menguasai ilmu alat dan kaedah seperti bahasa arab dan sasteranya, hadith dan usulnya serta ilmu tafsir dan kaedah penafsiran yang sahih, usul fiqh dan lain-lain ilmu yang berkaitan.

Firman Allah swt yang bermaksud :

" Maka kami memberi kefahaman kepada Sulaiman dan masing-masing kami berikan hukum (keputusan) dan pengetahuan." (Al-Anbiya :79).

Kerana itu pada kitab Al-Faqih Wal Mutafaqih oleh Imam Khatib al-Baghdadi ra menyebutkan bahawa Imam Syafie ra pernah menyebut :

"Tidak halal bagi seseorang itu memberikan fatwa di dalam agama kecuali mereka yang mengetahui tentang kitab Allah baik nasakh dan mansukhnya, muhkamat dan mutasyabihat, ta’wil dan penurunannya, makkiyah dan madaniyah dan lain-lain serta juga menguasai hadis seperti mana perlunya dia menguasai Al-Qur’an, mahir bahasa arab dan juga mahir ilmu usul dan kemahiran yang berkaitan." (lihat Al-Faqih Wal-Mutafaqih dan I’lamul Muwaqi’in oleh Imam Ibnu Qayyim Jilid 1, ms. 45).

Baiklah, lupakanlah dahulu isu tersebut marilah kita bersama-sama membuat sedikit pemerhatian ringkas tentang tajuk hadis dan kaedah memahaminya yang mana boleh jadi dapat mencelikkan mata kita daripada sebuah TAASUB YANG BUTA.

Hadis Kepimpinan Itu Milik Golongan Quraisy

Di dalam sebuah hadis riwayat Anas Bin Malik ra, baginda Nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud : "Para Imam (pemimpin) itu daripada golongan Quraisy. Sesungguhnya mereka itu mempunyai hak ke atas kamu dan kamu pula mempunyai hak ke atas mereka seperti itu juga. Selama mereka berkasih sayang maka berbalaslah kasih sayang, Jika mereka berjanji, mereka memenuhi,Jika mereka memerintah, maka mereka adil. Siapa saja di antara mereka yang tidak berbuat demikian, maka dia akan mendapatkan laknat Allah, laknat para malaikat, dan laknat seluruh manusia."

Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, jilid 3, ms. 139 dan berkata Haitsami bahawa rijalnya siqah dan hadis ini disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir dan Syeikh Albani.

Hadis ini juga dikeluarkan oleh Abu Daud At-Thiyalisy dalam musnadnya jilid 2 ms. 163

Imam Al-Bukhari juga tidak ketinggalan meriwayatkan hadis yang sama maksudnya apabila menyebut di dalam bab Pemerintah daripada Qurasiy dengan lafaz dari Mu’awiyah bara yang menyebut dia mendengar Nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda (yang bermaksud) :

"Sesungguhnya urusan pemerintahan ini adalah di tangan Quraisy tidaklah ada seorang pun yang memusuhi mereka melainkan Allah akan menyungkurkan wajahnya di dalam neraka selama mereka itu melaksanakan agama."

Hadis diriwayatkan oleh Bukhari di dalam Kitab Al-Ahkam, bab Pemerintah daripada Quraisy Jilid 13 ms. 114 di dalam Fathul bari.

Al-Imam Muslim mengeluarkan hadis daripada Ibnu Umar ini di dalam Kitab Al-Imarah dengan lafaz yang bermaksud : "Urusan pemerintahan ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih berbaki dua orang di antara manusia."

Hadis riwayat Muslim, jilid 4 ms. 1820

Imam Muslim juga turut meriwayatkan hadis serupa daripada Abu Hurairah ra dengan lafaz yang bermaksud : "Manusia mengikuti Quraisy pada perkara pemerintahan ini dengan yang Muslim akan mengikuti orang-orang muslimin daripada kalangan mereka dan yang kafir pula akan mengikuti golongan yang kafir daripada kalangan mereka."

Hadis riwayat Muslim, Jilid 3 ms. 1451.

Manakala Al-Imam At-tirmidzi pula meriwayatkan hadis daripada Amr bin Al-Ash bahawa dia pernah mendengar Nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda (yang bermaksud ):

"Quraisy adalah pemimpin manusia di dalam kebaikan dan keburukan sehingga hari kiamat"

Hadis riwayat Tirmidzi jilid 4, ms. 503 dengan Imam At-tirmidzi menyebut hadis ini hasan gharib sahih.

Burhanuddin al-Halabi (w. 841 H) berkata di dalam Sirah Halabiyah, jilid 2, ms. 480 bahawa Hadis yang mengisahkan perihal kepimpinan adalah ditangan golongan Quraisy adalah hadis sahih yang diriwayatkan oleh hampir 40 orang sahabat."

Imam Ibnu Hazm ra pula menganggap hadis-hadis tersebut sebagai hadis yang mutawatir. Dia berkata: "Riwayat hadis ini datang secara mutawatir." (Al-Fasl fi Milal wal Ahwa wan Nihal, Jilid 4, ms. 89).

Al-Imam Ibnu Taimiyyah ra pula berpendapat hadis ini mutawatir pada makna tetapi tidak pada sanadnya. (Minhaj Sunnah An-Nabawiyyah, jilid 2, ms. 85-86).

Pendapat Ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah terhadap Isu Pemerintah daripada Quraisy

Ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah bersepakat berkenaan hendaklah mengangkat Imam daripada golongan Quraisy dan sejumlah besar di kalangan mereka pula meletakkan syarat pengangkatan Imam hendaklah daripada bangsa Qurasiy berdasarkan hadis-hadis dan dalil yang banyak.

Para Imam empat mazhab (Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad) turut bersepakat di dalam hal ini.

Al-Imam Ahmad berkata : "Tidak boleh ada khalifah dari selain Quraisy." (Al-Ahkam As-Sultoniyah, ms. 20)

Imam Ahmad juga berkata lagi : "Urusan pemerintahan ini sentiasa berada di tangan Quraisy selama masih berbaki dua orang di antara manusia dan tidaklah ada orang yang cuba menanggalkan daripada mereka kepimpinan itu atau keluar daripada mereka dan tidaklah mengangkat selain mereka sehinggalah hari kiamat." (Tabaqat Hanabilah, Jilid 1,ms. 26)

Al-Imam Syafie juga mengatakan perkara yang sama di dalam kitabnya Al-Umm Jilid 1 ms. 143 dan Al-Imam Abu Hanifah ra di dalam Kitab Usul Ad-Din ms. 275.

Manakala Imam Malik dengan tegas mengatakan : "Tidak boleh ada Imam melainkan kepada Quraisy dan tiada hak pemerintahan kepada selain daripada mereka KECUALI kepada orang yang menyeru kepada Imam Quraisy." (Lihat Ahkam Al-Quran Ibnul Al-Arabi Jilid 4, ms. 1721)

Bagaimana situasi Kita hari Ini ?

Sebuah persoalan perlu ditujukan kepada golongan pro-KERAJAAN yang mengajak ketaatan kepada pemimpin yang ada hari ini secara mutlak dengan ketaatan yang buta agar menjawab hadis ini dan menyatakan apakah sikap mereka terhadap hadis kepimpinan daripada Quraisy ini ?

Kadang-kadang saya terasa lucu dengan mereka, jika mereka mengatakan kami tidak mentaati pemerintah di dalam maksiat tetapi hanya pada perkara kebaikan dan selama pemerintah melaksanakan kitab Allah maka apakah bezanya dengan kita ? Bukankah itu juga slogan kita ?

Bukankah itu juga ucapan kita agar ketaatan itu tidak berlangsung kecuali di atas syariat Allah.

Saya mendapati ada penulis muda yang mula mengubah suai sedikit demi sedikit di dalam artikel-artikel mereka bagi menyedapkan rasa pembaca agar tidak menganggap mereka sebagai golongan pengampu dengan mengatakan kami tidak taat buta sebaliknya hanya di dalam perkara yang makruf (kebaikan sahaja)

Lalu bukankah kita sama sahaja kenapa sampai menuduh saya dan mereka yang tidak menyokong kerajaan di dalam pilihanraya sebagai pemberontak ? Khawarij ? dan

pelbagai lagi tuduhan yang menyakitkan ?

Jawapannya mudah, mereka mahu mempromosikan ajaran baru iaitu pemerintah jangan digulingkan sekalipun ada cara dan jalannya yang aman dan damai.

Jangan digulingkan kerana itulah suruhan agama, itulah arahan rasulullah lalu berusaha keras melakukan pendustaan di atas nama agama dengan mengaitkan Rasulullah di dalam jenayah ilmiah bagi membenarkan dakwaan mereka bahawa pemerintah zalim perlu dibela dan dipertahankan.

Apakah Illat hadis-hadis yang menyebut perihal Pemerintah yang Zalim perlu ditaati dan tidak digulingkan ?

Menurut al-Amidi, Illat ialah sesuatu sifat yang jelas dan konsisten (mundabit) dan dengan menetapkan hukum yang sesuai dengan sifat tersebut dapat mencapai sesuatu matlamat iaitu untuk mencapai kemaslahatan atau mencegah kerosakan.( Lihat di dalam Al-Ihkam Li al-Amidi)

Jawapannya ialah untuk mengelakkan mudharat peperangan, kerosakkan, perpecahan seperti yang tercatat di dalam Al-quran dengan jelas :

Yang bermaksud :

"Berkata Musa: "Wahai Harun, apa yang menghalangi kamu ketika kamu melihat mereka telah sesat, (sehingga) kamu tidak mengikuti aku? Maka apakah kamu telah (sengaja) mendurhakai perintahku?" Harun menjawab : "Wahai putera ibuku, janganlah kamu pegang janggutku dan jangan (pula) kepalaku; sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan berkata (kepadaku): "Kamu telah memecah belah di antara Bani Israil dan kamu tidak memelihara amanatku." (Surah Thaha : 92-94)

Para ulama menyebut Wajhul Istidlal Hadis-hadis yang menyangkut persoalan ketaatan kepada pemerintah yang zalim ialah berkait soal kemudharatan dan bahaya perpecahan yang dirisaukan oleh rasulullah yang akan tercetus akibat proses penukarannya yang berlaku.

Inilah yang menjadi Illat kepada larangan menjatuhkan pemerintah yang zalim.

Oleh yang demikian, sebahagian golongan Khawarij apabila mendapati hal ini maka mereka mengambil tindakan mengkafirkan perlaku dosa besar dan pembuat maksiat agar dengan hal sedemikian membolehkan mereka keluar daripada kewajipan pemerintah kerana gugur hak ketaatan disebabkan pemerintah bukanlah lagi seorang Islam yang zalim tetapi seorang yang kafir dan apabila kafir dibolehkan untuk diperangi.

Sedangkan yang dikafirkan oleh Khawarij itu bukanlah siapa tetapi sahabat rasulullah radiallahuanhum ajmaien dan tuduhan-tuduhan khawarij adalah sangat tidak berasas dan pengkafiran mereka kepada perlaku dosa besar adalah sangat jauh dari pertunjuk agama.

Adapun pada hari ini, perbuatan para sesetengah ulama yang mengkafirkan sebahagian daripada pemerintah bukanlah termasuk dalam jenayah Khawarij tetapi berasaskan kepada fakta yang kukuh dan sabitan-sabitan hukum yang jelas yang memerlukan kepada kebenaran di zahirkan demi Amar Makruf Nahi Mungkar.

Janganlah menyamakan para ulama yang mengkafirkan sesetengah pemerintah yang tidak berhukum dengan hukum Allah kerana pemerintah atau individu tersebut jelas tidak beriman dengan hukum Allah dan mengatakan hukum Allah ini sudah tertolak,ketinggalan zaman, lapuk dan pelbagai lagi yang menghina adalah sama dengan sikap Khawarij yang mengkafirkan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib ra sahabat yang terjamin syurga hanya kerana menerima majlis tahkim dengan Muawiyah, tidak mengambil ghanimah di dalam peperangannya.

Itu tuduhan yang melulu tetapi itulah sikap golongan yang jahil.

Adakah sama Khawarij dan pejuang Islam ?

Adakah sama pemerintah yang menolak Al-Quran sebagai sumber penghukuman kerana engkar dan tidak percaya dengan Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib yang berhukum dengan Majlis tahkim dan berijtihad menanguhkan Qisos terhadap Utsman bin Affan ?

Jauh beza situasinya dan jauh pula tersasar kaitannya lalu siapakah Khawarij ?

Maka para ulama di dalam Firaq (ilmu perbandingan aliran) menyebut Khawarij ialah golongan yang mengkafirkan perlaku dosa besar dan keluar daripada pemerintah yang melaksanakan hukum Allah serta tidak menerima tafsiran sahabat di dalam agama tetapi menafsirkan Al-quran secara zahir. (Lihat Kitab Al-Milal Wan Nihal )

Musuh Allah dibela dan ulama yang haq dicela

Memahami Illat hadis dan wajhu dilalahnya adalah penting supaya kefahaman kita terhadap hadis tidak bercanggah dengan maqasid syarak dan kehendak Islam yang menjadi amalan dan pegangan ahlul sunnah wal jamaah.

Apabila gugurnya Illat (punca hukum itu terjadi) di dalam sesebuah hadis maka gugurlah pula hukum larangan atau tegahan yang dibawa oleh hadis tersebut.

Ini bermakna sekiranya Illat (punca hukum itu terjadi) hadis yang melarang supaya menjatuhkan pemerintah yang zalim ialah kerana dibimbangi perpecahan, huru-hara dan pembunuhan maka jika situasi ini telah hilang dengan diganti suasana yang aman, wujud pilihan dan kemampuan untuk menukar pemerintah tanpa mencetuskan huru-hara dan kekacauan seperti yang dirisaukan atau menjadi Illat kepada larangan di dalam hadis maka gugurlah juga tegahan yang melarang kita menjatuhkan pemerintah yang zalim kerana Illatnya telah juga hilang.

Persoalan Illat dan maqasid syarak ini adalah penting dan wajib dipelajari oleh para pendakwah supaya dapat mengeluarkan keputusan hukum yang sahih daripada dalil-dalil nash malangnya golongan pro-Murjiah dan seumpama dengan mereka telah menolak ilmu usul fiqh yang mulia ini dengan mengatakan ianya bukan sunnah dan menganggap ianya sebuah ajaran yang tidak benar dan sebagainya.

Sungguh buruk sikap mereka itu sehingga menjadikan hadis-hadis rasulullah difahami secara zahir oleh pemikiran mereka yang singkat dan cetek lalu ditafsirkan agama menurut kehendak-kehendak mereka sehingga jadilah agama ini benar-benar menjauh daripada manusia dan fitrahnya.

Baiklah kembali kepada hadis Pemerintah daripada Quraisy ini, bagaimanakah golongan Pro-Kerajaan dan Pemerintah mahu menjawabnya ?

Ahlul Sunnah Wal Jamaah berpendapat pemerintah mestilah daripada Quraisy dan pendapat yang mengatakan Syarat Pemerintah daripada Quraisy ini hanyalah datang sebagai bab fadhilat dan kelebihan bukan kewajipan atau syarat ialah golongan Khawarij dan Murjiah. (Lihat Kitab Al-Fasl fil Milal wal Ahwa wan Nihal, Jilid 4, ms. 89 dan Ghayatul Maram fi Ilmil Kalam, ms. 383)

Golongan yang membenci Khawarij pastinya tidak mahu bersependapat dengan Khawarij di dalam memahami hadis ini bukan ?

Lalu tiada jalan lain maka mereka mesti menerima pendapat Ahlul Sunnah Wal Jamaah bahawa pemerintah haruslah daripada golongan Quraisy dan jika sedemikian, bagaimanakah status pemerintah-pemerintah yang ada sekarang ini yang bukan daripada keturunan Quraisy ?

Mahu dipecatkah ? Mahu diganti dengan keturunan Quraisy kah ?

Nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda (yang bermaksud ): "Quraisy adalah pemimpin manusia di dalam kebaikan dan keburukan sehingga hari kiamat." (Hadis riwayat Tirmidzi dengan darjat Hasan Gharib Sahih).

Imam Malik ra pun turut mengatakan : "Tidak boleh ada Imam melainkan kepada Quraisy dan tiada hak pemerintahan kepada selain daripada mereka KECUALI kepada orang yang menyeru kepada Imam Quraisy." (Lihat Ahkam Al-Quran Ibnul Al-Arabi Jilid 4, ms. 1721)

Lalu bagaimana ?

Bukankah menurut kaedah Anda memahami hadis-hadis mengenai pemerintahan secara zahir adalah mewajibkan taat kepada pemerintah maka bukankah RASULULLAH jelas menyuruh anda mentaati dan menyerahkan hak pemerintahan kepada golongan Quraisy ?

Atau bagaimana ?

Isu Pemerintah Daripada Quraisy Di sisi pengajian Fiqhul Hadis

a) Hadis Pemerintah daripada Quraisy berperanan sebagai muqayyad kepada hadis kewajipan mentaati pemerintah iaitu apabila disebut ketaatan kepada pemerintah ialah terikat kepada selama pemerintah itu Muslim, melaksanakan kitab Allah (muqayyad) maka demikian juga syarat pelaksanaan hukum hadis itu iaitu pemerintah yang hendak ditaati itu haruslah pula seorang daripada Quraisy.

Hadis –hadis yang menyebut pemerintah daripada Quraisy adalah lebih mutawatir dan lebih jelas dan terang daripada hadis mentaati pemimpin yang zalim. Bahkan para ulama menyebut bahawa kesemua hadis-hadis yang membawa kepada ketaatan kepada pemimpin itu sebenarnya merujuk kepada pemimpin daripada Quraisy berdasarkan kaedah Mutlak dan Muqayyad.

Hadis-hadis berkenaan ketaatan kepada pemimpin itu sebenarnya telah di Muqayyadkan (Diikat dan dibatasi maksudnya oleh suatu batasan yang mempersempitkan fungsi atau peranan hukumnya atau memperfokuskan pada maksud dan maknanya secara terperinci)

Apabila bertembung antara hadis yang memiliki lafaz Mutlak dengan hadis yang memiliki lafaz Muqayyad, maka hendaklah hadis lafaz Mutlaq tersebut difahami mengikut petunjuk yang dibawa oleh hadis yang memiliki lafaz Muqayyad.

Ini adalah kerana hadis yang membawa lafaz Muqayyad berperanan melengkap dan memperincikan lagi hukum yang dibawa oleh hadis lafaz Mutlak tersebut.

Mengamalkan lafaz muqayyad bererti telah mengamalkan petunjuk hukum yang terkandung dalam lafaz mutlak, namun apabila hanya mengamalkan lafaz mutlaq tidak bererti kita telah mengamalkan petunjuk hukum yang terkandung di dalam lafaz muqayyad. Sehingga usaha mengabungkan kedua-duanya merupakan kewajipan yang penting yang harus dilakukan. (Lihat di dalam Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam)

Para ulama yang mengatakan bahawa pemerintah itu wajib daripada Quraisy maka mereka mengikat syarat ketaatan kepada pemerintah hanya berlaku apabila pemerintah itu daripada bangsa Quraisy seperti mana halnya pemerintah haruslah seorang Muslim dan mendirikan solat serta menegakkan hukum Allah.

b) Memahami Hadis rasulullah dengan melihat kepada Maqasid Syarak dan Wajhul Dilalah dan dhawabit (prinsip ) Usul

Hadis-hadis rasulullah berkait soal pemerintahan ini sebenarnya tidaklah berlaku tuntutan dan tidak jatuh hukumnya secara mutlak dan umum untuk sepanjang zaman bahkan para ulama ada yang mengikat kelangsungan hukum tersebut hanya terbatas kepada khilafah di zaman rasulullah salallahualaihiwasalam, ada yang mengikat tuntutan hadis tersebut kepada khalifah yang di angkat oleh umat Islam dan tidak bermaksud pemerintahan beraja.

Ini berdasarkan hadis rasulullah yang bermaksud : "Berlaku zaman nubuwwah ke atas kamu selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian Allah menamatkannya apabila Dia kehendaki, kemudian berlaku zaman khilafah di atas manhaj nubuwwah selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian ditamatkan apabila dikehendaki olehNya.

Kemudian akan berlaku zaman pemerintahan beraja yang sangat kejam selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian akan ditamatkan apabila dikehendaki. Kemudian akan berlaku zaman pemerintahan beraja yang memaksa ke atas rakyatnya selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian akan ditamatkan apabila dikehendaki, Kemudian akan berlaku zaman khilafah di atas manhaj nubuwwah.." – Hadis riwayat Ahmad dan Thiyalisi serta disahihkan oleh Al-Hafiz Al-Iraqi dan Albani dan selain dari keduanya.

Di antara ulama yang membezakan di antara Khalifah dan raja ialah Imam Ibnu Khaldun di dalam kitabnya Al-Mukadimah ms.190.

Ini kerana katanya Khalifah ialah pemerintah yang bertangungjawab di dalam pemerintahan menurut syarak dan bertanggungjawab menguruskan urusan umat dengan mengikut prinsip-prinsipnya adapun raja ialah pemerintah yang mentadbir menurut kemahuan dan kehendaknya tanpa terbatas oleh peraturan tertentu.

Ini boleh dilihat bahawa Para Rasul seperti Daud dan Sulaiman ialah Raja yang berkuasa memerintah dan mewarisi takhta mereka sedangkan rasulullah tidak diberikan kerajaan seperti itu sebaliknya memilih untuk menjadi seorang rasul dan hamba kepada Allah seperti hadis riwayat Abu Hurairah sedang baginda tetap memimpin perang, menjadi Imam dan ketua umat Islam di Madinah dan kemudian setelah wafat diganti oleh Abu Bakar sebagai Khalifah yang pertama sekaligus menunjukkan wujud perbezaan di antara status seorang raja atau Khalifah. (Lihat Majmuk Al-Fatawa Jili 35, ms. 34)

Khalifah misalnya boleh dipecat oleh ahli Syura dan perlantikannya juga dibuat oleh Syura yang diangkat dari wakil-wakil umat sedangkan raja-raja ialah pemerintah yang diangkat berdasarkan warisan dan kedua-duanya adalah melalui daripada sistem yang berbeza.

Maka para ulama yang mengadakan pembahagian dan membezakan di antara khalifah dan raja berpendapat tidak terpakai tuntutan-tuntutan hadis dan ketaatan kepada pemerintah terhadap raja dan mereka juga tidak meletakkan syarat keturunan Quraisy untuk membolehkan seseorang menjadi raja.

Adapun golongan ulama yang menyatakan bahawa Khalifah boleh disamakan dengan raja dan sebagainya maka mereka tetap MENSYARATKAN bahawa hendaklah seorang raja atau pemerintah itu MESTILAH daripada QURAISY.

Dibolehkan seseorang pemerintah itu digelarkan Khalifah sekalipun dia ialah seorang raja atau pun bukanlah Khalifah Ar-Rasyidun selama dia menepati syarat iaitu daripada keturunan Quraisy. (Al-Imamah Al-Uzma Indal Ahlul Sunnah Wal Jamaah, ms. 40)

Berdasarkan hadis –hadis yang jelas mengangkat Quraisy ini telah menyebabkan golongan selain Quraisy tidak berhak menjadi ketua negara.

Hukum ini yang banyak dipegang oleh para ulama terdahulu seperti al-Mawardi dan lain-lain di kalangan ulama Ahlul Sunnah bahkan sehingga ianya termasuk di dalam perkara yang menjadi Ijmak mereka. (al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah, ms.6)

Walaubagaimanapun hadis ini juga mesti mengandungi wajhul istidlal dan Illat yang menjadi punca larangan mengangkat selain daripada mereka dan sebab mengapa diperintahkan mengangkat Quraisy.

Menurut Imam Ibnu Khaldun, Illat yang melatar belakangi kepimpinan di tangan Quraisy ialah kerana mereka merupakan golongan yang kuat dan berwibawa. Tidak ada satu bangsa yang dapat menandingi mereka dalam hal kewibawaan politik di zaman Rasulullah dan awal Islam kerana pada merekalah kesatuan arab yang berasaskan sistem kabilah itu terbentuk dan dapat disatukan. Dengan demikian hanya merekalah yang berhak memegang kekuasaan politik.

Penyerahan kekuasaan kepada golongan lain akan menimbulkan kekacauan dan tidak menolak kemungkinan akan terjadi peperangan sesama umat Islam tanpa ada yang dapat menyelesaikannya.

Menurut beliau Illat yang terkandung dalam penyebutan "golongan Quraisy" akan terus berlaku dengan syarat ‘Asabiyyah kewibawaan dan kekuatan politik dapat dipenuhi.

Dengan demikian para penguasa umat Islam terdiri daripada kaum yang mempunyai kekuatan ‘asabiyyah dan kekuasaan yang diakui pada zamannya supaya dapat memimpin orang lain dan kesatuan umat dapat dicapai dengan pembelaan yang baik. Dengan demikian jika ‘Asabiyyah kewibawaan dan kekuatan politik golongan Quraisy tidak kuat lagi maka syarat pemimpin dari golongan Quraisy juga hilang.

c) Perkara yang menjadi ijmak di zaman dahulu tidak bermakna akan kekal ijmak ke zaman ini

Pengangkatan pemimpin daripada Quraisy merupakan ijmak berdasarkan pengakuan ramai ulama di antaranya Imam An-Nawawi :"Hadis mengenai pemimpin daripada Quraisy dan seumpamanya menjadi dalil yang jelas bahawa khalifah adalah dikhususkan kepada kaum Quraisy dan tidak boleh diangkat kepada selain mereka dan demikianlah ijmak yang disepakati yang berlaku di zaman sahabat, tabien dan golongan selepas mereka dengan mengikut hadis-hadis yang sahih." (Al-Minhaj, Syarah Muslim oleh Nawawi Jilid 12, ms. 200)

Bahkan menurut Fudhoil bin Iyad hanyalah golongan Khawarij yang membolehkan pengangkatan Imam selain daripada Quraisy dan hal sedemikian merupakan ijmak kaum muslimin.

Ulama lain yang mengakui hal ini sebagai ijmak umat Islam ialah Al-Mawardi, Ibnu Khaldun, Imam Al-Ghazali dan selain mereka.

Apakah umat Islam pada zaman hari ini telah buta hadis dan jahil sunnah ?

Bukankah pengangkatan Khalifah di dalam sejarah Islam banyak sekali daripada golongan yang bukan Quraisy ?

Bukankah Khilafah Uthamniyah terdiri daripada bangsa yang bukan Quraisy ?

Bukankah Perdana Menteri dan Presiden negara-negara Islam hari ini adalah bukan daripada golongan Quraisy ?

Bagaimanakah kita boleh menyalahi ijmak sahabat dan tabien serta hadis rasulullah yang jelas nyata ?

Kerana ini hendaklah difahami bahawa golongan yang jahil ilmu agama khasnya ilmu usul fiqh akan terperangkap di dalam dalil-dalil yang menjadi pegangan mereka sendiri lalu Al-quran dan hadis akan menyesatkan mereka disebabkan oleh kejahilan mereka.

Para ulama mengambil pelbagai jalan bagi memahami hadis ini dan menyesuaikan kehendak hadis dengan situasi zaman yang sudah berubah tersangat jauh daripada kehendak hadis. Situasi hari ini, umat Islam tidak lagi dinaungi oleh Khalifah dan kerajaan Islam yang bersatu sebaliknya telah berpecah dan menjadi negara-negara kecil yang diikat oleh perlembagaan tersendiri.

Pemerintah-pemerintah yang diangkat tidaklah dengan jalan syura serta kekuasaan mereka pula dijalankan seperti pemerintahan beraja dan kesemua mereka bukanlah daripada Quraisy.

Syeikh Dr Abdul Wahhab Khalaf di dalam kitabnya As-Siyasah As-Syar’iyyah m.s 28 dan Dr. Al-Khurbuthli di dalam kitab Al-Islam wal Khilafah ms. 59, misalnya telah menolak keshahihan hadis mengenai kepimpinan Quraisy tersebut dan menganggapnya sebagai tidak jelas asal usulnya dalam syara’ berdasarkan ketiadaan nash yang sahih yang menunjukkannya masih terlaksana hukum dan Illat yang menjadi punca pelaksanaan hukum.

Manakala sebahagian besar yang lain melakukan pengajian kritis terhadap hadis dengan menolak syarat Imam daripada Quraisy dengan berdasarkan beberapa hujah.

Seperti :

i) Semua hadis yang diriwayatkan berkenaan pemerintah daripada Quraisy yang menjadikan urusan pemerintahan berada pada orang Quraisy telah datang dalam bentuk khabar dan tidak satu hadis pun datang dalam bentuk perintah.

Bentuk khabar menurut para ulama usul sekalipun memberikan pengertian tuntutan (thalab) tetapi tidak dimasukkan sebagai tuntutan yang pasti (thalaban jaaziman) selama tidak disertai dengan bukti (qarinah) yang menunjukkan penekanan (ta’kid) dan ternyata tidak ada satu qarinah pun yang menyertainya dan tidak ada dalam satu riwayat yang sahih.

Sehingga menunjukkan bahawa status hukumnya adalah mandub (sunnah) bukan wajib. Jadi syarat nasab Quraisy itu adalah syarat afdlaliyyah (diutamakan kepada mereka) bukan syarat in’iqad (syarat yang wajib bagi mengangkat mereka).

ii) Kalau syarat nasab keturunan Quraisy menjadi syarat in’iqad (pengengakatan Imam), maka syarat ini masih terlaksana di dalam ikatan syarat yang lain iaitu melalui hadis Rasulullah salallahualaihiwasalam yang bersabda: "Selama mereka menegakkan agama (Islam)." Sebab mafhum mukhalafah dari hadis Mu’awiyah "Selama mereka menegakkan agama (Islam)" bererti sekiranya mereka tidak menegakkan agama (Islam), maka urusan (pemerintahan) tersebut keluar daripada tangan mereka." (Lihat di dalam Fathul Bari, jilid 16, ms. 333-334).

Jika urusan pemerintahan terlepas daripada tangan mereka, apakah dibolehkan kaum muslimin hidup tanpa Imam yang menyebabkan tertangguhnya hukum dan terhentinya jihad ?

Sesungguhnya hukum syarak menetapkan bahawa mengangkat imam atau Khalifah itu wajib bagi umat. Umat juga wajib memecat penguasa jika dia menampakkan kekufuran yang nyata, baik penguasa itu seorang Quraiys atau pun bukan.

Imam Ahmad telah meriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud ra bahawasanya dia telah mendatangi Rasulullah Saw dan mendengar baginda bersabda (yang bermaksud) :

"Amma ba’du. Wahai orang-orang Quraisy, sesungguhnya kalian adalah kaum yang berhak atas urusan (pemerintahan) ini, selama kalian tidak bermaksiat kepada Allah. Jika kalian bermaksiat kepada-Nya maka dia nescaya akan mengerahkan kepada kalian sekelompok orang yang akan menguliti (mengupas habis) kalian sebagaimana kayu ini dikupas –beliau menunjuk pada sebuah kayu yang ada di tangan beliau." Perawi berkata: "Kemudian baginda salallahualaihiwasalam mengupas kulit tongkatnya sehingga ternampak putih keras." (Al Musnad, jilid 6, ms. 176 hadis No. 4380).

Begitu pula hadis yang diriwayatkan oleh Ath-Thabarani di dalam Al-Mu’jam As-Shoghir dan Al-Ausoth dari Tsanban yang berkata: Rasulullah salalallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud : "Peganglah janji setia kepada Quraisy selama mereka setia (tidak khianat) memimpin kalian. Jika mereka telah melakukan (khianat dalam memimpin umat) maka angkatlah pedang kalian di atas pundak kalian dan musnahkanlah pemimpin-pemimpin (Quraisy) itu." (Majmu’ az Zawaid oleh Al-Haitsami, jilid 5, ms. 228).

iii) Imam Ahmad mengeluarkan hadis daripada Umar bin Al Khattab ra dengan sanad rijalnya siqah (terpercaya) bahawasanya dia pernah berkata: "Jika telah sampai ajalku, dan Abu Ubadah masih hidup, maka aku akan menyerahkan kekhilafahan kepadanya." Maka dia menyebutkan hadis yang di dalamnya ada ungkapan: "Jika telah sampai ajalku dan Abu Ubadah telah mati maka aku akan memberikan kekhilafahan kepada Mu’adz bin Jabal." (Al-Musnad oleh Imam Ahmad, jilid 16, ms. 236).

Khalifah Umar bin Khattab ra mengucapkan hal itu dengan dihadiri oleh ramai para sahabat ra dan tidak ada satu riwawat pun yang menyebutkan bahawasanya mereka berbeza pendapat dengan Umar tentang pendapatnya itu dan berhujah bahwa Khilafah itu mestilah tetap berada di tangan kaum Quraisy dan tidak boleh di tangan keturunan yang lain ini disebabkan sahabat Muadz bin Jabal bukanlah daripada bangsa Quraisy tetapi Ansor.

Oleh kerena itu pemahaman inilah yang difahami oleh Khalifah Umar ra dan tak seorangpun dari sahabat yang mengingkarinya bahwa syarat nasab Quraisy bukanlah syarat in’iqad (pengangkatan Imam) sekalipun terdapat banyak hadis-hadis sahih yang menyebutkan hal sedemikian secara zahirnya.

Ada golongan yang masih mempertahankan bahawa Khalifah boleh terdiri daripada bukan Quraisy seperti golongan Khawarij (anak-anak dan adik-adik muda) yang menafsirkan hadis dengan akal apabila mengambil lafaz zahir daripada hadis dari Anas bin Malik ra yang bermaksud : "Dengar dan taatlah kamu sekalipun yang berkuasa ke atas kamu ialah hamba habsyi yang kepalanya seperti tamar selama dia menegakkan di atas kamu kitab Allah."

Hadis ini sahih dikeluarkan oleh Bukhari dan Ahmad serta Nasaie.

Namun para ulama ahlul sunnah menolak tafsiran Khawarij ini yang mengatakan pemerintah itu ialah sesiapa sahaja yang terangkat melalui apa jua jalan dan berkuasa atas umat sekalipun seorang hamba. (Lihat Al-Milal Wan Nihal oleh Syahrastani Jilid 1, ms. 116)

Ulama Ahlul sunnah Wal Jamaah menolak hal ini dengan menyebut apa yang dimaksudkan oleh hadis ialah perumpamaan yang tidak berlaku pada wujud realiti ianya datang sebagai bentuk Al-mubalaghah di dalam menunjukkan supaya berlaku ketaatan yang bersungguh. (Lihat di dalam Fathul Bari Jilid 13, ms. 122)

Demikian pula Syeikh Syanqithi di dalam Adho’ul Bayan menyebut bahawa yang dimaksudkan hamba tersebut ialah wakil Imam dan bukanlah dia itu sendiri ialah Imam atau khalifah dan bahkan hal ini menjadi ijmak kaum muslimin bahawa tidak boleh diangkat pemerintah daripada seorang hamba seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar di dalam Fathul bari disebalik wujud hadis yang mengatakan sekalipun diangkat pemerintah daripada hamba abdi namun para ulama Islam sepakat menafikan bolehnya mengangkat pemerintah daripada hamba abdi. (Adho’ul Bayan Jilid 1, ms. 55)

Itulah ilmu yang dimiliki oleh para ulama di dalam bermuamalah dengan hadis yang tidak dimiliki oleh pelajar-pelajar mentah yang baru setahun jagung tetapi sibuk melalak di sana sini demi sebuah kemasyhuran.

Penutup

Ulama ahlul sunnah pada hari ini tidaklah menolak kesepakatan bahawa pemerintah haruslah daripada Quraisy yang berlaku semenjak zaman rasulullah dan para sahabat radiallahuanhum tetapi tidak melaksanakan tuntutan ini disebabkan tiada kemampuan dan sudah tidak wujud lagi daya dan upaya untuk hal yang sedemikian.

Ini telah disepakati oleh kebanyakan mutakallimin bahawasanya taklif tidak akan berlaku kecuali dengan perbuatan hamba yang dia mampu melakukannya (As- Muntaha as Sul fi ilmil Usul, jilid 1, ms. 35).

Adapun memelihara nasab Quraisy hingga hari kiamat adalah sesuatu yang diluar kemampuan manusia. Hal ini kerana syarat in’iqaad (pengangkatan) yang menjadikan sahnya seseorang khilafah itu jika diwajibkan Quraisy maka tidak mungkin dipenuhi pada zaman hari ini disebabkan umat Islam sudah berpecah dan khilafah sudah tidak wujud.

Bahkan mereka telah bersepakat mengatakan bahawa perkara ini sudah menjadi ramalan rasulullah.

Berdasarkan hadis rasulullah yang bermaksud : "Berlaku zaman nubuwwah ke atas kamu selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian Allah menamatkannya apabila Dia kehendaki, kemudian berlaku zaman khilafah di atas manhaj nubuwwah selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian ditamatkan apabila dikehendaki olehNya. Kemudian akan berlaku zaman pemerintahan beraja yang sangat kejam selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian akan ditamatkan apabila dikehendaki. Kemudian akan berlaku zaman pemerintahan beraja yang memaksa ke atas rakyatnya selama mana yang dikehendaki oleh Allah, kemudian akan ditamatkan apabila dikehendaki, Kemudian akan berlaku zaman khilafah di atas manhaj nubuwwah.." – Hadis riwayat Ahmad dan Thiyalisi serta disahihkan oleh Al-Hafiz Al-Iraqi dan Albani dan selain dari keduanya.

Khilafah atau pemerintahan berasaskan nubuwwah akan dibangkitkan kembali oleh Allah swt dengan usaha umatnya di akhir zaman dan pemerintah yang akan diangkat nanti telah disepakati oleh Ahli Sunnah bahawa dianya akan terdiri daripada keturunan Quraisy dan tidaklah yang merampas hak daripada kaum Quraisy melainkan dicela oleh Allah swt.

Maka umat Islam perlulah memahami bahawa isu politik dan hadis-hadis yang berkait soal siyasah haruslah difahami dengan kefahaman yang mendalam kerana ianya melibat soal kepentingan umum dan berkait maslahah ummah yang besar.

Kegopohan pihak tertentu mewajibkan dan menentang atau mengharamkan sesuatu perkara tanpa mengkaji dan memiliki pengetahuan di dalam hal ini amatlah dikesali seperti yang turut diluahkan oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi di dalam bukunya, Fiqhul Daulah Fi Islam.

Bahkan Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi menyebut : "Fatwa-fatwa yang jahil lagi berani ini dan tidak matang daripada sudut ilmu syarak mampu menjatuhkan umat ke lembah kebinasaan. Sesetengah orang yang berfatwa kepada manusia lebih berhak dipenjara daripada pencuri kerana pencuri hanya merosakkan dunia tetapi mereka merosakkan agama." (Fiqhul Daulah Fi Islam)

Imam Abu Ishak As-Syatibi ra telah memperingatkan umat Islam akan hakikat ini dengan menyebutkan di dalam kitabnya dengan bermaksud : " Sesungguhnya yang menjadi sebab utama bid’ah dan pertikaian yang membawa kepada perpecahan umat dan malapetaka ialah seseorang mempercayai dirinya ialah seorang mujtahid atau termasuk ahlul ilmi wal ijtihad dalam ilmu agama sedangkan hakikatnya dirinya belumlah mencapai tahap itu.

Maka apabila dia beramal dengan pendapatnya maka dianggap pendapatnya ialah sebagai pendapat ulama dan khilafnya sebagai khilaf ulama lalu baik hal itu berlaku di dalam hal yang furu (cabang) atau hal yang mendasar dan usul baik iktikad dan amaliyah sehingga seringkali dia mengambil sesetengah hal yang juz’iyah atau furu’iyah (cabang) dari syariat lalu diruntuhkan hal yang kulliyat atau usul dengannya atau sebaliknya sehinggalah jadi apa yang zahir itu sepintas lalu seolah menepati makna tetapi hakikatnya tidak mencapai maksud syarak maka inilah dia seorang tukang pembuat bid’ah." (Lihat Kitab Al-Itishom jilid 2, ms. 173)

Semoga Allah memelihara kita daripada kesesatan.

petikan artikel dari al-ahkam.net

samb...MUZIK ANTARA PRO DAN KONTRA

Bilakah diharuskan lelaki memukul duf?.

BErlaku perselisihan pendapat di kalangan fuqaha' pada tujuan dan keadaan yang dibenarkan memukul duf. Mereka terbahagi kepada 2 mazhab :

PENDAPAT PERTAMA : Harus memukul duf untuk melahirkan rasa kegembiraan dan mewujudkan suasana kemeriahan di dalam upacara-upacara atau sambutan yang dibenarkan oleh syara'. Umpamanya perkahwinan, berkhatan, sambutan hari raya, menyambut kepulangan musafir (haji dan lain-lain) dan sebagainya. Mereka yang berpendapat demikian ialah sebahagian ulama' Hanafi, Jumhur Ulama' Mazhab Syafi'e, sebahagian Ulama' Hanbali, sebahagian Ulama' mazhab Maliki dan Ibn Hazm Al-Andalusia.

PENDAPAT KEDUA : Memukul duf diharuskan untuk upacara perkahwinan sahaja. Ia adalah pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki, jumhur fuqaha' mazhab Hanafi, sebahagian Ulama' Hanbali dan salah satu pendapat fuqaha' Syafi'e.

PENDAPAT ULAMA'-ULAMA' MASA KINI TENTANG MUZIK

Ulama'-ulama' Islam masa kini tidak ketinggalan menyumbangkan pandangan-pandangan mereka terhadap hukum muzik yang menjadi titik perbezaan pendapat di kalangan ulama' sejak zaman berzaman. Mereka terbahagi kepada 2 golongan , iaitu golongan yang mengharuskan dan golongan yang mengharamkan.Mereka yang mengharamkan berpegang kepada nas-nas Al-Quran dan sunnah serta 'Illah yang disebut oleh ulama'-ulama' terdahulu. Cuma ada juga khilaf di kalangan mereka tentang alat-alat yang diharuskan. Ada juga yang menghadkannya kepada duf sahaja. Mereka ini pula berikhtilaf lagi pada keadaan-keadaan dibenarkan memukul duf dan siapakah yang diharuskan menggunakannya.

Friday, January 15, 2010

samb...MUZIK ANTARA PRO DAN KONTRA

Hukum Alat-alat Muzik Di Dalam Khazanah Ulama' Silam

Alat-alat yang dipukul atau diketuk.

1. Ad-Duff (Rebana Kecil)

Duf ialah sejenis alat muzik yang disepakati oleh para ulama' keharusan penggunaannya. Hukum ini berdasarkan kepada hadis-hadis Rasulullah saw yang secara terang menyebut keharusan penggunaan alat ini. Diantaranya :

a. Hadis Riwayat Muhammad Bin Habib daripada Rasulullah saw ;
"...Pemisah antara halal dan haram ialah pukulan duf..."

b. Hadis Riwayat Khalid Bin Zakuan daripada Ar-Rabie' Binti Mu'awwiz Bin 'Afra' ;
"...Masuk Nabi saw ketika mula-mula bersekedudukan denganku (selepas perkahwinan) lalu duduk di atas hamparan seperti kedudukan kamu (Khalid Bin Zakuan) daripada aku. Di ketika itu beberapa hamba perempuanku sedang memukul duf dan meratapi kematian bapa-bapaku dalam Peperangan Badar. Salah seorang daripada mereka mendendangkan kata-kata : Disisi kami Nabi yang mengetahui perkara akan datang. Lantas Nabi saw menegur ; "tinggalkanlah kata-kata ini dan teruskan nyanyianmu..." (Riwayat Bukhari)

c. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi di dalam Sunannya ;
"...Keluar Nabi saw dalam satu peperangan, apabila pulang datang seorang hamba perempuan hitam lalu berkata, "wahai Rasulullah, aku telah bernazar sekiranya engkau pulang dengan selamat, aku akan memukul duf sambil menyanyi". Nabi saw menjawab,"sekiranya engkau telah bernazar, buatlah sebagaimana dinazarkan, sekiranya tidak maka tidak perlu "..

Hukum Lelaki Yang Memukul Duf

Para Ulama' bersepakat bahawa wanita dibenarkan memukul duf. Tetapi mereka berselisih pendapat pada hukum lelaki menggunakan alat ini. Adakah harus atau sebaliknya. Dalam hal ini terdapat 2 pandangan :

i). Pendapat yang mengatakan HARAM lelaki memukul duf.
Mereka menyandarkan pandangan ini kepada adat dan 'uruf. Di mana memukul duf di zaman dahulu hanya dilakukan oleh kaum wanita sahaja. Oleh itu, lelaki memukul duf dianggap meniru perbuatan kaum wanita dan termasuk di dalam golongan yang disifatkan oleh Nabi saw : "Rasulullah saw melaknat lelaki-lelaki yang mnyerupai (menitu) wanita"..hadis daripada Bukhari di dalam Sahihnya daripada 'Ikrimah daripada Ibnu Abbas. Dikeluarkan juga oleh Ahmad di dalam Musnadnya daripada hadis Ata' Bin Abi Rubah daripada Abu Hurairah. (sahih Bukhari 8/305, Al-fathul Bari 19/322.

Mereka juga berdalilkan hadis-hadis yang hanya menyebut kaum wanita dan hamba-hamba perempuan sahaja memukul duf tanpa ada riwayat yang menyebut kaum lelaki di zaman salaf memukul duf.

Pendapat ini ialah pendapat sebahagian ulama' mazhab Syafi'e , jumhur ulama' mazhab Hanbali dan Asbagh (ulama' mazhab Maliki).

ii). Pendapat yang mengHARUSkan lelaki memukul duf.
oleh kerana tiada nas yang mengharamkannya, As-Subki (ulama' Syafi'e) mengatakan "..ari segi asalnya, lelaki dan wanita bersekongkol dalam hukum-hukum melainkan ada nas yang membezakan antara keduanya. Adapun dalam masalah ini tiada nas yang membezakan antara lelaki dan wanita dari sudut keharusan memukul duf. Tambahan pula memukul duf tidak hanya dikhaskan untuk wanita semata-mata. "

Mereka yang berpendapat sedemikian ialah Jumhur Ulama' Maliki, Syafi'e dan pendapat Imam Ahmad Bin Hanbal dari sebahagian pengikutnya...

..bersambung....

Wednesday, January 13, 2010

MUZIK ANTARA PRO DAN KONTRA

Di antara perkara yang masih menjadi khilaf di kalangan ulama' ialah hukum muzik. Para ulama' sejak zaman silam telah cuba mengupas masalah ini berdasarkan kepada kefahaman nas-nas yang ada diseragamkan dengan uslub istinbat hukum sebagaimana yang tertera di dalam kanun perundangan Islam. Muzik terus menjadi salah satu isu yang sukar untuk diputuskan hukumnya. Para ulama' dan fuqaha' telah berijtihad dalam menentukan hukumnya dan mereka terbahagi kepada 2 golongan :
a). golongan yang mengharuskan, dan
b). golongan yang mengharamkan
Masing-masing mempunyai hujah-hujah yang tersendiri dalam memahami nas-nas yang berkaitan dengan perkara ini.

Muzik di masa kini telah mengalami perkembangan yang begitu pesat dibandingkan dengan zaman permulaan Islam dan seterusnya di zaman-zaman keagungan Islam sebagai kuasa besar dunia. Dulu, irama muzik tidak dapat didengari melainkan di majlis-majlis atau kelab muzik dan nyanyian. Dahulu alatan muzik hanya dimainkan dan iramnya hanya didengari oleh golongan-golongan tertentu seperti peminum-peminum arak dan lelaki-lelaki pondan yang digolongkan sebagai ahli fasiq dan ahli maksiat. Golongan lelaki yang mempunyai sifat kelelakian yang sempurna dianggap 'aib jika memainkan atau mendengar irama muzik. Kini, segala-galanya telah berubah. Dunia moden menyaksikan revolusi kebendaan yang menakjubkan. Muzik kini boleh didengari di mana-mana sahaja. Buka sahaja TV atau radio, insan moden boleh mendengar berbagai-bagai jenis muzik, tidak perlu bersusah payah menghadiri masjlis atau kelab muzik. Lelaki yang sentiasa mendengar alunan nasyid atau pukulan duf (rebana kecil) atau gendang melalui kaset,cd dan seumpamanya adalah perkara biasa yang tidak meng'aibkan lagi dan tidak menjatuhkan maruahnya. Muzik-muzik yang didengari melalui pelbagai media adalah muzik-muzik yang tidak lagi menimbulkan 'aib kepada pendengarnya di masa kini.
Berdasarkan kepada waqi' yang berubah dan uruf atau adat umat Islam yang bertukar, marilah kita mengupas kembali persoalan muzik yang menjadi tanda tanya kebanyakan umat Islam di masa kini. Pandangan ulama'-ulama' dahulu dan sekarang akan diambil kira dalam artikel ini.

MANUSIA DAN SENI

Manusia adalah makhluk yang dibekalkan oleh Allah swt dengan perasaan, tabiat dan kecenderungan semulajadi yang sudah menjadi fitrah kejadian manusia. Jiwa dan perasaan manusia perlu disahut kehendak-kehendaknya sebagaimana manusia memberikan hak-hak tertentu kepada akal dan tubuh badannya.
Apabila jiwa dan batin ditekan atau tidak disahut kecenderungannya, ia akan cepat memberontak menyebabkan kehidupan tidak tenteram. Islam telah mengiktiraf hak-hak batin manusia melalui firman Allah Taala yang bermaksud ;
"...Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa yang diingini iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)..."..Ali Imran :14

Namun, dalam menyahut kehendak batin dan jiwa, Islam meletakkan batas-batas tertentu. Batas-batas ini sekiranya dilanggar akan menyebabkan kerosakan dan kemudaratan kepada individu dan masyarakat muslim. Di sinilah terpancarnya keunggulan Islam dlam memastikan kebahagiaan hidup makhlukNYA di bumi Allah swt yang menjadikan manusia dan Maha Mengetahui selok belok dan kehendak hambaNYA. Lantaran itu, Allah murka kepada orang yang mengharamkan perhiasan dan kelazatan-kelazatan yang telah dikurniakan olehNya kepada hamba-hambaNYA di pentas dunia ini.

FirmanNya, yang bermaksud ;

"..Katakanlah (wahai Muhammad) siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hambNYA dan mengharamkan rezeki yang baik..." Al-A'raaf :32.

"...Jangan kamu lupa bahagian kamu daripada kehidupan dunia ini..." Al-Qasas :77

Muzik adalah sebahagian daripad seni. Mendengar irama muzik merupakan satu wasilah untuk melapangkan jiwa yang hambar dan fikiran yang berserabut. Dengan menyanyi (atau bernasyid) dan mendengar irama-irama tertentu seseorang itu boleh gembira atau sedih, tenang atau gelisah dan sebagainya. Perkara ini adalah fitrah yang tidak dinafikan oleh sesiapa pun,tua atau muda, kecil atau besar. Hatta janin di dalam kandungan ibu boleh bertindak balas dengan suara nyanyian ibunya sebagaimana hasil kajian yang dilakukan oleh Persatuan Kajian Sains Diraja England.
Perkembangan dunia seni mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan tamadun. Ia berkembang selari dengan perkembangan sesebuah tamadun bangsa. Sekiranya kita kembali kepada sejarah ketamadunan Islam kita mendapati kebenaran fakta ini. Di permulaan pembinaan tamadun Islam, iaitu di zaman Rasulullah saw dan Khulafa' Ar-Rasyidin, seni tidak begitu dititikberatkan kerana umat Islam sibuk berjuang di jalan Allah swt untuk meluaskan empayar Islam. Tiada masa bagi mereka untuk bersuka ria dn memberikan perhatian kepada perkara-perkara sisipan dalam kehidupan seperti seni. Apabila kuasa Islam semakin meluas dan berlaku persekongkolan tamadun dengan Parsi, India, Rom dan sebagainya, bidang seni semakin berkembang. Umat Islam yang hidup dalam keamanan dan kemewahan mula mencari hiburan dan bersuka ria untuk memenuhi kelazatan dan kesenangan hidup. Lantaran itu berkembanglah dunia seni dengan pesatnya. Alat-alat muzik diimport daripada tamadun-tamadun lain seperti Parsi dan India. Mereka mula tenggelam dalam dunia kemewahan, bersuka ria dan hiburan yang berlebihan dan bercanggah dengan batas-batas Allah swt. Natijahnya umat Islam mula melupai kewajipan mereka. Kehidupan bercampur aduk dengan unsur-unsur maksiat, empayar Islam semakin lemah kerana lemahnya pemimpin dan rakyat, akhirnya satu demi satu jajahan Islam dirampas oleh musuh dan mengakibatkan kehancuran empayar Islam dan kehinaan umatnya. Inilah gambaran apa yang berlaku kepada Khilafah Othmaniyah di Turki.
Di abad ini alam Islami menghadapi perkembangan dunia seni yang lebih mencabar. Dengan berlakunya persekongkolan tamadun dengan barat, umat Islam diserang dengan arus massa yang amat deras. Tamadun material Barat telah dieksport ke dunia Islam dengan berbagai-bagai corak seni yang meliputi perfileman, drama, nyanyian, dokumentari dan seumpamanya melalui wasilah-wasilah massa seperti TV, radio, wayang, video, komputer, satelit dan sebagainya.
Barat yang tidak mengerti halal dan haram menjadikan dunia seni seumpama beraka jahannam yang menjadi ancaman yang amat merbahaya dan sukar ditangkis oleh umat Islam di masa kini. Umat Islam seolah-olah sudah tidak bermaya lagi untuk menangkis serangan-serangan tersebut. Mereka seumpama 'Pak Angguk' yang menerima sahaja segala apa yang dikurniakan oleh barat kepada mereka tanpa menilai baik atau buruk, membina atau tidak. Lantaran itu menjadi kewajipan umat Islam untuk menghadapi serangan media massa yang hebat ini demi keagungan Islam. Umat Islam perlu mengemukakan alternatif-alternatif baru yang dapat menggalang-gantikan bentuk-bentuk hiburan Barat yang jauh lebih melencong daripada batas-batas Allah swt...bersambung

Monday, January 11, 2010

UMAR BIN KHATTAB R.A

Umar bin Khattab sebelum masuk Islam termasuk musuh Islam yang sangat dikhuatiri oleh kaum muslimin. Dia sangat kejam terhadap pengikut-pengikut Rasulullah SAW. Dalam suatu kisah ada diceritakan bahawa Umar bin Khatab pernah menyeksa seorang wanita hamba sahaya dari keluarga Bani Muammal, sehingga hancur tubuh wanita tersebut, kerana dia memeluk Islam.

Rasulullah SAW pernah berdoa kepada Allah SWT tentang Umar bin Khattab.
Ertinya: “Ya Allah, tinggikanlah Islam dengan salah seorang di antara dua lelaki, iaitu Umar bin Hisyam (Abu Jahal) dan Umar bin Khattab.”

Doa baginda Rasulullah tersebut menggambarkan betapa kejamnya dan ganasnya kedua lelaki yang bernama Umar tersebut. Sehingga baginda bermohon kepada Allah, agar salah seorang di antara mereka memperoleh hidayah dan dapat bersama-sama berjuang menegakkan Islam. Pada suatu malam Umar bin Khattab berjalan-jalan dalam kota Mekkah dengan membawa sebilah pedang dengan tujuan ingin membunuh Rasulullah SAW. Ketika itu Umar berjumpa dengan seorang pemuka Quraisy bernama Na’im bin Abdullah.

Na’im bertanya kepada Umar, “Ke manakah engkau ingin pergi wahai Umar? Aku ingin mencari Muhammad dan ingin membunuhnya.” Jawab Umar. Kemudian Na’im berkata lagi, “Mengapa engkau harus membunuh Muhammad sedangkan adik iparmu Sa’id bin Zaid dan adik kandungmu Fatimah bin Khattab telah memeluk Islam.” Mendengar keterangan tersebut, darah Umar menjadi mendidih, kemarahannya semakin memuncak. Sekarang dia telah merubah niat asalnya daripada ingin membunuh Rasulullah, kepada membunuh kedua saudaranya yang sedang berada di rumah Khabbab.

Ketika Umar bin Khattab memasuki rumah Khabbab, Fatimah sedang membaca surah Thaha dari ayat 1 hingga 6. Mendengar itu Umar bertambah marah, kemudian memasuki rumah Khabbab lalu memukul Sa’id bin Zaid hingga berdarah. Fatimah pun ingin membantu suaminya daripada terus diseksa, maka Umar pun memukul adiknya Fatimah sehingga terjatuh. Pada saat yang singkat itu, melihat suasana Sa’d bin Zaid dan Fatimah yang baru dipukulnya, maka Allah SWT memberikan hidayah ke dalam hati Umar bin Khattab.

Umar merasa hairan, apa sesungguhnya yang terkandung di dalam Islam, sehingga fatimah adiknya sanggup berkorban membela suaminya daripada disiksa. Kemudian Umar meminta selembar naskah yang sedang dibaca oleh Fatimah tadi. Fatimah pun menjawab: “Wahai kandaku Umar, tidak akan aku berikan naskah ini sebelum engkau mengambil wuduk terlebih dahulu. Naskah ini hanya boleh dipegang oleh orang-orang yang bersih dan suci.

Kemudian Umar bin Khattab mengambil wuduk, setelah itu dia membaca naskah yang telah dibaca oleh Fatimah. Umar merasakan bahawa seharusnyalah manusia menyembah Zat Yang Maha Pencipta seperti yang dijelaskan dalam surah Thaha ayat 1 hingga 6 tersebut. Akhirnya Umar menyuruh adiknya membawanya menemui Rasulullah SAW untuk memeluk Islam. Ketika itu Rasulullah sedang berada di rumah Al-Arqam bersama dengan Saidina Hamzah. Di hadapan Rasulullah, Umar bin Khattab mengucapkan dua kalimah Syahadah, menyatakan diri bahawa ia telah memeluk agama yang suci itu.

Menurut satu riwayat, setelah Umar bin Khattab memeluk Islam pada malam hari, maka paginya ia pergi ke rumah Umar bin Hisyam (Abu Jahal) untuk memberitahukan kepadanya bahawa Umar bin Khattab telah memeluk Islam. Mendengar keterangan Umar bin Khattab tersebut, maka Abu Jahal pun menampar Umar bin Khattab, sehingga terjadilah perkelahian antara mereka. Begitulah dua insan yang sama-sama jahil, namun salah seorang memperoleh hidayah dariapda Allah SWT, sedangkan yang seorang lagi terus sesat mengikut langkah-langkah syaitan.

dari blog Fazakkeer.com

Thursday, January 7, 2010

Penjelasan Ilmiah Isu Kalimah Allah

Penggunaan nama Allah oleh penganut agama bukan Islam menjadi polimik hangat dalam negara ,menjadi lebih panas setelah Mahkamah membuat keputusan keizinan kepada pihak gereja katholik memakai perkataan Allah dalam penyebaran mereka kepada masyarakat umum, khususnya masyarakat yang hidup didalamnya Umat Islam, kerena menyentuh perasaan mereka, kerana Perkataan ALLAH sangat mulia disisi umat Islam.

Apa yang menghairankan sebelum ini pengamal ajaran keristian itu menyebut tuhan dengan bahasa mereka masing-masing.

Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan Allah dari kitab suci mereka (Al Quran) yang tidak diterjemahkan lagi kedalam bahasa masing-masing, kerana perkataan ALLAH tidak mampu diterjemahkan kedalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al Quran.

Adakah ia boleh dibenarkan begitu sahaja diatas kosep kebebasan beragama?, sedangkan kebebasan secara saksama mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah yang mencetuskan perkara yang merosakan hubungan sesama manusia .

Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebanar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Perlu difahami adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain mengikut makna perkataan Allah yang tepat dengan maksudnya dari segi bahasa Arab yang terus digunakan oleh umat Islam yang terdiri daripada bebagai bangsa dan bahasa dengan tetap berpegang kepada makna dan maksud perkataan Allah?

Atau mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya sehingga menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini .

Perkataan Allah di-sebut oleh orang arab atau pengguna bahasa arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut yahudi, kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala .

Al Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agma itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah Dalam surah Al-Ankabut ayat 61 dan 63 bermaksud

61. Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?.

63. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah dalam surah Al-Luqman ayat 25 bermaksud

25. Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).

Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 38 bermaksud

38. Dan demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

Firman Allah dalam surah Az-Zukhruf ayat 9 dan 87 bermaksud

9. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:" siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui".

87. Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka Bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

Ayat-ayat tersebut diatas mendedahkan bahawa orang-orang yang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan Yang Bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (Adanya Tuhan Pencipta Alam) hanya sekadar itu, namun kepercayaan mereka tidak menepati hakikat dari makana perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat makjizat Al Quran, apabila mereka memaksa diri menggunakan perkataan Allah , padahal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti GOD, LORD dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka tidak tepat dengan maksudnya .

Kita tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah mengikut ajaran dan bahasa kita, walaupun mereka percaya kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, tatapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara.

Kalangan penganut kristian dengan kepercayaan Trinity (Tiga Tuhannya) dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang maha Esa dan Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang maha Esa (Al Asma Al Husna).

Imam Al Baihaqi menulis dalam kitabnya ( Al Asma Wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ia-lah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu baginya (sama ada dinamakan bapa , anak dan apa sahaja) .

Allah mengikut bahasa arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadanya .

Perkataan ALLAH itu daripada perkataan AL-ILAH dengan menambah AL kepada perkataan asal ILAHyang bermakna Tuhan secara umum .

Apabila di letakkan Alif dan lam (AL) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian di mudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf maka, di sebut ALLAH.

Penambahan Al dalam bahasa arab bertujuan makrifah (yang di kenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu berbilang Tuhan” .

Al Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah S.A.W. tanpa melarang mereka menyebut, tetapi memberi penjelasan secara ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat .

Apabila Rasulullah S.A.W. menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah :

64. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami Dengan kamu, Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu Bahawa Sesungguhnya Kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali-Imran ayat 64)

Perutusan Rasulullah S.A.W. mendedahkah bagaimana gulungan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut Perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran Tauhid, (mengesakan Allah) tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan–tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (padri-padri) dan pemimpin-pemimpin (Arbab) yang mencipta undang–undang dan hukum yang menentang hukum Allah saperti menghalal apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada Rasul mereka sendiri atau mengharamkan apa yang di- halalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah dikalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita.

Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan aqidah mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan ALLAH sekadar mengubah janama melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sekali-kali, kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci Kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang di amal oleh umat Islam, seterusnya di-kira menodai kesucian dan kemurnian Kalimah ALLAH dihadapan umat Islam.

Iman ‘Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah , dengan apa nama sekalipun:

كلمة حق أريد بها باطل

(Kalimahnya benar , tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah ALLAH adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan ditengah masyarakat umat Islam sangat menyentuh sensetiviti Umat Islam, sehingga menggerakkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO) fahaman politik dan individu, bersatu mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah ALLAH boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

Al Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah .

Firman Allah dalam surah Al-An'am ayat 108 bermaksud

(108. Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

Demikianlah kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebabasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

sumber dari Harakahdaily.net

komen : Penjelasan di atas adalah berdasarkan ilmu, oleh itu semua orang-orang Islam sekelian, tingkatkanlah diri dengan ilmu agama, tambahkanlah pengetahuan agar segala tindakan menyokong dan membantah tidak hanya sekadar ikut-ikutan.

Monday, January 4, 2010

Menikmati Pelangi Cinta

Tidak akan diketahui kecintaan seseorang sehingga tiba saat berpisah. Tidak diketahui kesabaran seseorang sehingga tiba masanya dia patut marah.

Dan tidak diketahui keberanian seseorang sehingga tiba waktu berperang. Demikan kata pendita. Benar, cinta yang lama (setelah usia perkahwinan meningkat) hanya akan bergetar semula bila berpisah.

Perpisahan yang sekali-sekala akan menyuburkan percintaan. Tetapi jangan terlalu lama, justeru jika terlalu lama ia mengundang bahaya kerana ia boleh mengundang fitnah dan mampu menghakis setia.

Jika sayangkan anak tangan-tangankan, mungkin sayangkan isteri perlu ditinggal-tinggalkan. Dan dalam kehidupan pejuang agama dahulu, kini dan akan datang, perpisahan memang sudah menjadi “mainan”.

Walaupun, mungkin ada yang melihat perpisahan dikalangan suami isteri yang berkahwin itu satu yang memedihkan, tetapi ia sebenarnya baik untuk menyuburkan rasa cinta. Maksud saya bukan berpisah kerana bercerai tetapi berpisah kerana berjauhan oleh sesuatu urusan atau tugasan.

Jangan terus-terusan “berkepit” di rumah. Manusia tidak boleh lari daripada rasa jemu. Oleh itu para suami harus keluar dalam tempoh tertertu dan pada pada waktu-waktu tertentu tanpa rasa berat hati, enggan atau malas. Lebih-lebih lagi atas tujuan dakwah, kebajikan dan membuat kebaikan. Bukankah itu hak Allah atas kita? Janganlah hendaknya kerana terlalu cinta isteri sehingga kita mengabaikan cinta Allah.

Sayidina Abu Bakar pernah mengarahkan anak lelakinya menceraikan isteri yang baru dikahwininya apabila didapati anak lelakinya itu sudah jarang keluar solat berjemaah di masjid sejak berkahwin. Sudah menjadi tradisi para sahabat Rasulullah SAW dan baginda sendiri, keluar daripada kota Madinah sama ada untuk berperang atau berdakwah. Dan tentunya sahaja ini memaksa mereka sering berpisah dengan isteri mereka.

dari blog Genta Rasa

Sunday, January 3, 2010

Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah

** Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin enggan mengulas mengenai isu nama Allah yang telah diputuskan di mahkamah, sebaliknya berikut merupakan artikel lama yang telah ditulis beliau dan dicadangkan untuk pembacaan.



Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: “Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan.



Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.

Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.

Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.

Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?

Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).

Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.

Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.

Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,

Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).

Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian,

Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).

Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.

Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.

Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.

Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!

Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.

Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.

Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3).

Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.

Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sessi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.

Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?

Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.

Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.

Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

artikel ilmiah dari blog Minda Tajdid untuk semua yang mengaku orang Islam

Friday, January 1, 2010

ISLAM ITU MATLAMAT BUKAN ALAT

Berpegang kepada Islam bermaksud beriman atau yakin sepenuhnya dengan
segala inti kandungan ajaran agama yang agung tersebut. Pegangan
terhadap ajaran Islam ini hendaklah berteraskan keimanan kepada Allah
S.W.T bahawa Dia telah memerintahkan kita untuk tunduk kepada-Nya
menerusi kepatuhan kepada titah perintahNya dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Kita tidak menonjolkan pegangan kita kepada Islam ini kerana hendak
menjaga hati rakyat, atau keyakinan pengundi atau `apa orang kata'
atau untuk meraih dan mengaut untung sesuatu habuan atau perniagaan.

Kita tidak boleh berkempen kepada Islam supaya dapat mengukuhkan
politik kita, atau melariskan jualan kita, atau meng'halal'kan
kesalahan kita.

Berpegang dengan Islam sebagai agama yang diimani amatlah berbeza
dengan berpegang dengan Islam sebagai alat mengauh atau meraih
keuntungan tertentu. Pegangan Islam sebagai al-Din adalah jalan hidup
para rasul dan pengikut mereka.

Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku telah
diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang lurus, (kepada)
agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang tulus, dan dia
bukanlah daripada orang-orang yang musyrik.

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan
matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam.
Tiada sekutu bagiNya, dan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan
aku adalah orang yang awal bersegera menyerah diri kepada Allah..

Katakanlah: Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah
Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan
oleh seseorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya;
dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan
orang lain; kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia
menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.(Surah
al-Am'am: 161-164).

Jelas dari ayat ini, Islam adalah matlamat, bukannya alat. Islam itu
dipegang atas kesedaran dan keyakinan bahawa itulah tuntutan dan
itulah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.

Demikian sepatutnya kita dalam berpegang dengan ajaran Islam ini.
Walaupun setiap kita ada kelamahan dan kesilapan dalam hidup ini.

Kita mungkin gagal untuk mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh,
tetapi kita tidak boleh jadikannya alat meraih keuntungan.

Kita mungkin ada dosa, tetapi kita tidak boleh menghalalkan dosa
kerana kita telah melakukannya.

Maka, ketika kita berpegang atau beramal dengan mana-mana perkara
dalam ajaran Islam hendak pegangan dan amalan itu dibina di atas
keimanan yang membawa keikhlasan hanya kerana Allah.

Di situlah datangnya rahmat dan keberkatan. Bukan kerana sebarang
kepentingan yang mengatasi asas tersebut. Jika tidak agama ini menjadi
mainan kelompok yang sentiasa mencari untung dan kesempatan.

Jika agama hanya alat, maka kita lihat bagaimana berbagai ubatan yang
dijual pada hari ini yang menggunakan nama agama.

Sehingga kononnya ada air ajaib yang dihasil dari tulisan al-Quran
atas piring atau pinggan yang jika diminum memperolehi berbagai
keajaiban yang jika para sahabah Nabi s.a.w masih hidup pun akan
terkejut mendengarnya.

Mereka pun tidak pernah mendapat jampi daripada Nabi s.a.w yang
seistimewa itu.

Begitulah juga apabila al-Quran dijadikan alat bukan matlamat, maka
kita dapati seseorang yang sepanjang hidupnya tidak pernah
memperdulikan ajaran kitab agung itu, tiba-tiba apabila meninggal
diupah orang untuk dibaca al-Quran di tepi mayatnya.

Adakah al-Quran memberikan manfaatkan kepadanya, padahal selama ini
dia langsung tidak pernah menghiraukan ajaran dan titah Allah dalamnya?

Apakah jika mayatnya mendengar alunan al-Quran yang menyuruh dia
bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan haji, amanah, adil, juga
larangan berjudi, riba, arak, rasuah, khianat dan sebagainya, dia
dapat bangun dari kematian yang telah datang kepadanya untuk
melaksanakan semua arahan dan titah perintah itu?

Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w menyebut: "Al-Quran itu boleh menjadi
hujah untuk membela kamu, atau untuk menentang kamu" (Riwayat Muslim).
Namun, oleh kerana ada pihak yang membuat bisnes dengan `melelong
pahala', maka al-Quran menjadi alat untuk mengaut keuntungan, bukan
pegangan kehidupan.

Maka muncullah dalam masyarakat kita pembekal pahala yang boleh diupah
dengan beberapa ribu ringgit yang menggunakan bacaan al-Quran untuk
pembikinan pahala.

Lalu pahala pun boleh diniaga dan akhirat pun boleh dibeli. Justeru
itu Nabi s.a.w. pernah memberi ingatan: "Bacalah al-Quran dan mintalah
daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang
membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia" (Riwayat Ahmad
dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Begitulah juga dalam pungutan zakat. Kempen ke arah zakat begitu hebat
lebih daripada kempen kepada solat.

Padahal solat adalah rukun kedua Islam selepas syahadah. Namun zakat
adalah fulus, maka berbagai ayat al-Quran tentang dosa tidak membayar
zakat pun dikeluarkan. Baguslah. Memang pun kewajipan zakat amat besar.

Namun tujuan zakat bukanlah untuk mengutip harta orang berada, tetapi
untuk memastikan tiada jurang kekayaan yang menakutkan dalam
masyarakat, untuk membersihkan jiwa, menghapuskan permusuhan antara
yang miskin dan yang kaya, untuk memastikan prinsip bantu membantu
dalam kebaikan dan taqwa ditunaikan dalam masyarakat.

Maka sepatutnya, bukan dosa tidak membayar zakat sahaja yang patut
dikhutbahkan kepada masyarakat, tetapi dosa tidak mengagihkan zakat
dengan cara yang betul juga patut diingatkan kepada pihak yang
menguruskan.

Jangan sampai zakat puluhan atau ratusan juta terkumpul, tiba-tiba
cerita si miskin yang menderita masih banyak dan yang menguruskan
zakat tidak pula sampai-sampai ke rumah mereka.

Bayangkanlah jika ratusan juta itu diagih secara tepat, apakah masih
patut ada muslim yang merempat, tidak bersekolah dan bertukar pakaian?
Patutkah ada muallaf yang masih hidup dalam kehinaan? Patutkah
badan-badan dakwah masih meminta sedekah?

Padahal, yang menguruskan nampaknya sudah ada yang bertukar dan
bertambah kereta.

Apakah patut hanya dosa tidak bayar zakat sahaja yang ditonjolkan,
sedangkan kita melupakan, atau kurang mengingatkan tentang dosa salah
guna kuasa, rasuah, kronisme yang membelasah harta negara untuk kaum
keluarga?

Padahal kesemuanya dosa dan kesemuanya mengundang ketidakadilan
kitaran ekonomi dalam negara.

Namun, jika agama hanyalah alat, maka kita hanya ingatkan rakyat apa
yang boleh untuk dikaut untung lalu kita tinggalkan apa yang kita rasa
tidak untung.

Dalam politik, agama selalu menjadi mangsa. Berbagai nas dibaca
menjelang pilihanraya. Ada yang ikhlas, ada yang salah guna.

Dahulu ada sahabat saya yang sering membaca firman Allah: (maksudnya)
"Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka
merekalah orang-orang yang kafir" (Surah al-Maidah, ayat 44) dan
firman Allah: (maksudnya) "Janganlah orang-orang yang beriman
mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan
orang-orang yang beriman, dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang
demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam
sesuatu apapun" (Surah Ali `Imran ayat 28).

Lalu berbagai orang yang dilebel kafirkan olehnya. Pernah juga diminta
agar dia meluaskan pengetahuannya mengenai ayat-ayat tersebut supaya
dia tidak terlalu jumud dan sempit dalam tafsirannya.

Tujuannya agar tidak dikafirkan orang lain dengan begitu mudah. Mereka membantah , hampir juga yang menegur pun dikafirkannya.

Namun hari ini, apabila apabila partinya berkongsi kuasa dengan bukan
Islam, nadanya sudah berbeza.

Pernah ditanya kepadanya: "apa jadi dengan nas-nas yang dulu?". Katanya:
"syeikh, kita jangan sempit sangat, mesti tengok berbagai perkara,
bukan semua kita boleh buat".

Dengan sinis merekaditanya: "Tak jadi kafir ke kalau macam tu?". Jawab
dia: "Kena tengok keadaan la". Ya, mungkin kafir dulu itu,
kafir politik. Namun, begitulah nasib nas-nas al-Quran apabila ia
dibaca untuk sesuatu kepentingan.

Agama dalam negara ini pun dalam banyak keadaan menghadapi nasib yang
sama. Kadang-kala sebutan agama itu hanya sekadar penghias majlis,
bukan prinsip yang dipegang.

Macamlah mereka yang memulakan majlis dengan bacaan doa rasmi itu dan
ini, namun perjalanan majlis tidak pula berteraskan prinsip agama.

Islam tidak menyuruh majlis mesti dimulakan dengan `doa rasmi', tetapi
menyuruh agar perjalanan sesuatu program berteraskan ajarannya.

Berteraskan ajaran Islam bukanlah bererti kena ada ceramah agama, atau
penonjolan kempen agama.

Cukuplah sekurang-kurangnya tidak melakukan apa yang menyanggahi agama
ini.

Maka pendirian pemimpin-pemimpin dalam negara ini pun ada yang
bagaikan `sumpah-sumpah' yang boleh merubah warna kulit berdasarkan
keperluan majlis.

Ada yang bercakap tentang rakyat jangan membazir, tetapi jika dilihat
dalam majlis yang lain dia mengepalai pembaziran.

Ada yang bercakap jangan rasuah dan amanah terhadap harta negara,
tetapi dalam majlis yang lain merekalah juga yang menganugerahkan
projek-projek kepada `anak-pinak' dan `rakan-taulan' dengan cara yang
dipertikaikan.

Ada yang merasmikan musabaqah bacaan al-Quran dan orang yang sama juga
akan menolak prinsip-prinsip al-Quran di majlis yang lain.

Maka tidak hairanlah jika kita melihat wajah yang amat-amat berbeza
antara bidang pendidikan, industri hiburan, perindustrian dan berbagai
lagi.

Sekejap macam nak ikut Islam, sekejap macam tidak mahu ikut langsung
dan berbagai lagi.

Hari ini beras dan barangan mula naik. Nanti akan kedengaranlah
forum-forum perdana, atau ustaz-ustaz tv berceramah; `jangan
membazir', jimat cermat, belanja berhemat dan berbagai lagi.

Seakan agama ini hanya diperlukan ketika susah semata, tetapi
ditinggalkan ketika senang. Atau seakan agama ini untuk mak cik-makcik
di kampung sedangkan yang di atas tiada kena mengena.

Negara ini cukup kaya, jika diuruskan dengan penuh amanah sejak dulu,
semua rakyat akan menikmati kekayaannya.

Khalifah `Umar bin `Abdul Aziz memerintah hanya tiga puluh bulan,
tetapi kesemua rakyat merasa tidak layak menerima zakat di bawah
pemerintahannya.

Kewajipan adil dalam pengagihan kekayaan itu yang wajib diforumkan di
tv dan radio dahulu, kemudian barulah disuruh rakyat berjimat cermat.

Memang selama ini pun, mereka yang kekurangan itu telah pun berjimat
cermat. Janganlah agama hanya alat untuk kepentingan tertentu, bukan
dijadikan prinsip yang memandu perjalanan negara.

Allah menyebut tentang sikap manusia dalam al-Quran, firmanNya:
(maksudnya) Dia lah Yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan
diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga
apabila kamu berada dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju
membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan
mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin
ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari
segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh
bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan
mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya semata-mata (sambil merayu
dengan berkata):

"Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya
ini, Kami menjadi orang-orang yang bersyukur.

Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan
serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada
sebarang alasan yang benar. Wahai manusia!

Sesungguhnya perbuatan derhaka kamu itu hanyalah bala bencana terhadap
diri kamu sendiri. (dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan
hidup di dunia ; kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka
Kami akan memberitahu apa Yang kamu telah lakukan. (Surah Yunus ayat
22-23)

Bertindak untuk kepentingan tanpa prinsip itu macamlah cerita Panglima
Muda di Negera Entah Berentah yang menghunuskan keris menunjukkan
keperwiraan.

Namun, apabila dia merasakan pengundi negaranya ada yang tidak
bersetuju, maka dia memohon ampunan maaf hanya kerana keris yang
dihunuskan ke langit, belum pun ditikam ke perut.

Maka dia yang ingin mendapat sanjungan Hang Berani telah bertukar
menjadi Hang Takut.

Namun,rasanya kesalahan panglima Negara Entah Berentah
memperalatkan keris itu tidaklah seburuk tindakan memperalatkan
nas-nas agama.