Friday, January 1, 2010

ISLAM ITU MATLAMAT BUKAN ALAT

Berpegang kepada Islam bermaksud beriman atau yakin sepenuhnya dengan
segala inti kandungan ajaran agama yang agung tersebut. Pegangan
terhadap ajaran Islam ini hendaklah berteraskan keimanan kepada Allah
S.W.T bahawa Dia telah memerintahkan kita untuk tunduk kepada-Nya
menerusi kepatuhan kepada titah perintahNya dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Kita tidak menonjolkan pegangan kita kepada Islam ini kerana hendak
menjaga hati rakyat, atau keyakinan pengundi atau `apa orang kata'
atau untuk meraih dan mengaut untung sesuatu habuan atau perniagaan.

Kita tidak boleh berkempen kepada Islam supaya dapat mengukuhkan
politik kita, atau melariskan jualan kita, atau meng'halal'kan
kesalahan kita.

Berpegang dengan Islam sebagai agama yang diimani amatlah berbeza
dengan berpegang dengan Islam sebagai alat mengauh atau meraih
keuntungan tertentu. Pegangan Islam sebagai al-Din adalah jalan hidup
para rasul dan pengikut mereka.

Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku telah
diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang lurus, (kepada)
agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang tulus, dan dia
bukanlah daripada orang-orang yang musyrik.

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan
matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam.
Tiada sekutu bagiNya, dan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan
aku adalah orang yang awal bersegera menyerah diri kepada Allah..

Katakanlah: Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah
Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan
oleh seseorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya;
dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan
orang lain; kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia
menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.(Surah
al-Am'am: 161-164).

Jelas dari ayat ini, Islam adalah matlamat, bukannya alat. Islam itu
dipegang atas kesedaran dan keyakinan bahawa itulah tuntutan dan
itulah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.

Demikian sepatutnya kita dalam berpegang dengan ajaran Islam ini.
Walaupun setiap kita ada kelamahan dan kesilapan dalam hidup ini.

Kita mungkin gagal untuk mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh,
tetapi kita tidak boleh jadikannya alat meraih keuntungan.

Kita mungkin ada dosa, tetapi kita tidak boleh menghalalkan dosa
kerana kita telah melakukannya.

Maka, ketika kita berpegang atau beramal dengan mana-mana perkara
dalam ajaran Islam hendak pegangan dan amalan itu dibina di atas
keimanan yang membawa keikhlasan hanya kerana Allah.

Di situlah datangnya rahmat dan keberkatan. Bukan kerana sebarang
kepentingan yang mengatasi asas tersebut. Jika tidak agama ini menjadi
mainan kelompok yang sentiasa mencari untung dan kesempatan.

Jika agama hanya alat, maka kita lihat bagaimana berbagai ubatan yang
dijual pada hari ini yang menggunakan nama agama.

Sehingga kononnya ada air ajaib yang dihasil dari tulisan al-Quran
atas piring atau pinggan yang jika diminum memperolehi berbagai
keajaiban yang jika para sahabah Nabi s.a.w masih hidup pun akan
terkejut mendengarnya.

Mereka pun tidak pernah mendapat jampi daripada Nabi s.a.w yang
seistimewa itu.

Begitulah juga apabila al-Quran dijadikan alat bukan matlamat, maka
kita dapati seseorang yang sepanjang hidupnya tidak pernah
memperdulikan ajaran kitab agung itu, tiba-tiba apabila meninggal
diupah orang untuk dibaca al-Quran di tepi mayatnya.

Adakah al-Quran memberikan manfaatkan kepadanya, padahal selama ini
dia langsung tidak pernah menghiraukan ajaran dan titah Allah dalamnya?

Apakah jika mayatnya mendengar alunan al-Quran yang menyuruh dia
bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan haji, amanah, adil, juga
larangan berjudi, riba, arak, rasuah, khianat dan sebagainya, dia
dapat bangun dari kematian yang telah datang kepadanya untuk
melaksanakan semua arahan dan titah perintah itu?

Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w menyebut: "Al-Quran itu boleh menjadi
hujah untuk membela kamu, atau untuk menentang kamu" (Riwayat Muslim).
Namun, oleh kerana ada pihak yang membuat bisnes dengan `melelong
pahala', maka al-Quran menjadi alat untuk mengaut keuntungan, bukan
pegangan kehidupan.

Maka muncullah dalam masyarakat kita pembekal pahala yang boleh diupah
dengan beberapa ribu ringgit yang menggunakan bacaan al-Quran untuk
pembikinan pahala.

Lalu pahala pun boleh diniaga dan akhirat pun boleh dibeli. Justeru
itu Nabi s.a.w. pernah memberi ingatan: "Bacalah al-Quran dan mintalah
daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang
membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia" (Riwayat Ahmad
dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Begitulah juga dalam pungutan zakat. Kempen ke arah zakat begitu hebat
lebih daripada kempen kepada solat.

Padahal solat adalah rukun kedua Islam selepas syahadah. Namun zakat
adalah fulus, maka berbagai ayat al-Quran tentang dosa tidak membayar
zakat pun dikeluarkan. Baguslah. Memang pun kewajipan zakat amat besar.

Namun tujuan zakat bukanlah untuk mengutip harta orang berada, tetapi
untuk memastikan tiada jurang kekayaan yang menakutkan dalam
masyarakat, untuk membersihkan jiwa, menghapuskan permusuhan antara
yang miskin dan yang kaya, untuk memastikan prinsip bantu membantu
dalam kebaikan dan taqwa ditunaikan dalam masyarakat.

Maka sepatutnya, bukan dosa tidak membayar zakat sahaja yang patut
dikhutbahkan kepada masyarakat, tetapi dosa tidak mengagihkan zakat
dengan cara yang betul juga patut diingatkan kepada pihak yang
menguruskan.

Jangan sampai zakat puluhan atau ratusan juta terkumpul, tiba-tiba
cerita si miskin yang menderita masih banyak dan yang menguruskan
zakat tidak pula sampai-sampai ke rumah mereka.

Bayangkanlah jika ratusan juta itu diagih secara tepat, apakah masih
patut ada muslim yang merempat, tidak bersekolah dan bertukar pakaian?
Patutkah ada muallaf yang masih hidup dalam kehinaan? Patutkah
badan-badan dakwah masih meminta sedekah?

Padahal, yang menguruskan nampaknya sudah ada yang bertukar dan
bertambah kereta.

Apakah patut hanya dosa tidak bayar zakat sahaja yang ditonjolkan,
sedangkan kita melupakan, atau kurang mengingatkan tentang dosa salah
guna kuasa, rasuah, kronisme yang membelasah harta negara untuk kaum
keluarga?

Padahal kesemuanya dosa dan kesemuanya mengundang ketidakadilan
kitaran ekonomi dalam negara.

Namun, jika agama hanyalah alat, maka kita hanya ingatkan rakyat apa
yang boleh untuk dikaut untung lalu kita tinggalkan apa yang kita rasa
tidak untung.

Dalam politik, agama selalu menjadi mangsa. Berbagai nas dibaca
menjelang pilihanraya. Ada yang ikhlas, ada yang salah guna.

Dahulu ada sahabat saya yang sering membaca firman Allah: (maksudnya)
"Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka
merekalah orang-orang yang kafir" (Surah al-Maidah, ayat 44) dan
firman Allah: (maksudnya) "Janganlah orang-orang yang beriman
mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan
orang-orang yang beriman, dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang
demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam
sesuatu apapun" (Surah Ali `Imran ayat 28).

Lalu berbagai orang yang dilebel kafirkan olehnya. Pernah juga diminta
agar dia meluaskan pengetahuannya mengenai ayat-ayat tersebut supaya
dia tidak terlalu jumud dan sempit dalam tafsirannya.

Tujuannya agar tidak dikafirkan orang lain dengan begitu mudah. Mereka membantah , hampir juga yang menegur pun dikafirkannya.

Namun hari ini, apabila apabila partinya berkongsi kuasa dengan bukan
Islam, nadanya sudah berbeza.

Pernah ditanya kepadanya: "apa jadi dengan nas-nas yang dulu?". Katanya:
"syeikh, kita jangan sempit sangat, mesti tengok berbagai perkara,
bukan semua kita boleh buat".

Dengan sinis merekaditanya: "Tak jadi kafir ke kalau macam tu?". Jawab
dia: "Kena tengok keadaan la". Ya, mungkin kafir dulu itu,
kafir politik. Namun, begitulah nasib nas-nas al-Quran apabila ia
dibaca untuk sesuatu kepentingan.

Agama dalam negara ini pun dalam banyak keadaan menghadapi nasib yang
sama. Kadang-kala sebutan agama itu hanya sekadar penghias majlis,
bukan prinsip yang dipegang.

Macamlah mereka yang memulakan majlis dengan bacaan doa rasmi itu dan
ini, namun perjalanan majlis tidak pula berteraskan prinsip agama.

Islam tidak menyuruh majlis mesti dimulakan dengan `doa rasmi', tetapi
menyuruh agar perjalanan sesuatu program berteraskan ajarannya.

Berteraskan ajaran Islam bukanlah bererti kena ada ceramah agama, atau
penonjolan kempen agama.

Cukuplah sekurang-kurangnya tidak melakukan apa yang menyanggahi agama
ini.

Maka pendirian pemimpin-pemimpin dalam negara ini pun ada yang
bagaikan `sumpah-sumpah' yang boleh merubah warna kulit berdasarkan
keperluan majlis.

Ada yang bercakap tentang rakyat jangan membazir, tetapi jika dilihat
dalam majlis yang lain dia mengepalai pembaziran.

Ada yang bercakap jangan rasuah dan amanah terhadap harta negara,
tetapi dalam majlis yang lain merekalah juga yang menganugerahkan
projek-projek kepada `anak-pinak' dan `rakan-taulan' dengan cara yang
dipertikaikan.

Ada yang merasmikan musabaqah bacaan al-Quran dan orang yang sama juga
akan menolak prinsip-prinsip al-Quran di majlis yang lain.

Maka tidak hairanlah jika kita melihat wajah yang amat-amat berbeza
antara bidang pendidikan, industri hiburan, perindustrian dan berbagai
lagi.

Sekejap macam nak ikut Islam, sekejap macam tidak mahu ikut langsung
dan berbagai lagi.

Hari ini beras dan barangan mula naik. Nanti akan kedengaranlah
forum-forum perdana, atau ustaz-ustaz tv berceramah; `jangan
membazir', jimat cermat, belanja berhemat dan berbagai lagi.

Seakan agama ini hanya diperlukan ketika susah semata, tetapi
ditinggalkan ketika senang. Atau seakan agama ini untuk mak cik-makcik
di kampung sedangkan yang di atas tiada kena mengena.

Negara ini cukup kaya, jika diuruskan dengan penuh amanah sejak dulu,
semua rakyat akan menikmati kekayaannya.

Khalifah `Umar bin `Abdul Aziz memerintah hanya tiga puluh bulan,
tetapi kesemua rakyat merasa tidak layak menerima zakat di bawah
pemerintahannya.

Kewajipan adil dalam pengagihan kekayaan itu yang wajib diforumkan di
tv dan radio dahulu, kemudian barulah disuruh rakyat berjimat cermat.

Memang selama ini pun, mereka yang kekurangan itu telah pun berjimat
cermat. Janganlah agama hanya alat untuk kepentingan tertentu, bukan
dijadikan prinsip yang memandu perjalanan negara.

Allah menyebut tentang sikap manusia dalam al-Quran, firmanNya:
(maksudnya) Dia lah Yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan
diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga
apabila kamu berada dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju
membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan
mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin
ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari
segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh
bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan
mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya semata-mata (sambil merayu
dengan berkata):

"Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya
ini, Kami menjadi orang-orang yang bersyukur.

Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan
serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada
sebarang alasan yang benar. Wahai manusia!

Sesungguhnya perbuatan derhaka kamu itu hanyalah bala bencana terhadap
diri kamu sendiri. (dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan
hidup di dunia ; kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka
Kami akan memberitahu apa Yang kamu telah lakukan. (Surah Yunus ayat
22-23)

Bertindak untuk kepentingan tanpa prinsip itu macamlah cerita Panglima
Muda di Negera Entah Berentah yang menghunuskan keris menunjukkan
keperwiraan.

Namun, apabila dia merasakan pengundi negaranya ada yang tidak
bersetuju, maka dia memohon ampunan maaf hanya kerana keris yang
dihunuskan ke langit, belum pun ditikam ke perut.

Maka dia yang ingin mendapat sanjungan Hang Berani telah bertukar
menjadi Hang Takut.

Namun,rasanya kesalahan panglima Negara Entah Berentah
memperalatkan keris itu tidaklah seburuk tindakan memperalatkan
nas-nas agama.

No comments:

Post a Comment