Tuesday, February 9, 2010

AKHLAK DAN DA'WAH RASULULLAH SAW

Tradisinya, setiap tahun tepatnya 12 Rabiulawal, majoriti umat Islam terutama di Malaysia akan memperingati Maulidur Rasul (hari kelahiran Nabi Muhammad SAW). Namun begitu bukan kelahirannya sahaja yang perlu diutamakan, malah yang lebih utama adalah memahami sejarah perjuangan dan da'wah baginda selama 23 tahun menyebarluaskan ajaran Islam.
Rasulullah SAW adalah seorang insan yang menjadi teladan kita semua malah beliau juga digelar THE LIVING QURAN (Al-Quran hidup) sepertimana yang diisyaratkan oleh isteri Baginda, 'Aisyah r.a ." Akhlak beliau (Rasulullah SAW) adalah Al-Quran." HR Abu Dawud dan Muslim.
Sejarah kehidupan Baginda dari kecil penuh dengan kemiskinan dan kesederhanaan. Rumahnya yang kecil terletak di samping sebelah timur Masjid Nabawi dengan beratap rendah diperbuat daripada pelepah kurma. Di dalam rumahnya hampir tiada perabot, hanyalah tempat minuman yang diperbuat daripada kayu keras yang dipateri dengan besi dan baju besi yang biasa dipakai Baginda ketika berperang. Tempat tidurnya hanyalah selembar tikar dari anyaman pelepah kurma.
Pernah juga Baginda ditawarkan sahabat untuk menikmati tempat tidur yang lebih layak untuk seorang Rasul Allah, namun Baginda menjawab; Apalah ertinya dunia ini bagi ku, bukankah engkau rela mereka memperoleh dunia sedangkan kita memperoleh akhirat?. Rasulullah SAW juga adalah seorang yang amat rendah hati, walaupun menjadi pemimpin agung Baginda menolak untuk disanjung dan dipuji-puji. Anas Bin Malik r.a berkata, "Para sahabat yang mahu berdiri menyambut kehadiran Rasulullah SAW tidak jadi berdiri ketika tahu bahawa Baginda tidak mahu dihormati seperti itu." (HR Ahmad).
Walau pun Baginda sibuk dengan pekerjaannya, tetapi apabila mendengar saja azan berkumandang, Baginda segera ke Masjid. Belum pernah Baginda bersolat di rumah kecuali solat sunat. Sifat Rasulullah SAW yang lainnya adalah Baginda mudah berkomunikasi dengan siapa pun, tanpa protokol, berlaku sopan, lemah lembut, sabar, tidak marah walau disakiti, wajah Baginda akan bertukar merah padam apabila melihat kemungkaran atau haka-hak Allah diinjak-injak dan dihina.
Tidak hairanlah, Allah sendiri memujinya, "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." surah Al-Ahzab 33:21.
Oleh itu ingatlah semua Maulidur Rasul bukanlah hanya sambutan kelahiran semata-mata, perarakan dan kemeriahan, tokoh-tokoh kecemerlangan anugerah dan sebagainya namun lebih dari itu apakah kecintaan kita pada Baginda sebenarnya jika kita sendiri tidak memahami perjuangan dan da'wah Rasulullah SAW dan amalan dalam seluruh kehidupan kita semua. Setakat mana pencapaian kita mengangkat dan membela Sunnah Rasulullah SAW dan syari'at Islam itu sendiri..tepuk dada tanya IMAN.

No comments:

Post a Comment